Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 24 Sept. - RHB Banking Group (RHB) telah memberi bantuan kewangan bernilai kira-kira RM20.3 bilion yang merangkumi RM12 bilion menerusi bantuan pembayaran balik dan RM8.3 bilion lagi dari segi pinjaman serta kemudahan pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sepanjang musim pandemik ini.
Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB, Jeffrey Ng berkata bank itu menggunakan pendekatan holistik untuk membantu dan menyokong PKS sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan menyediakan kemudahan dan bantuan pembayaran, selain bekerjasama dengan rakan perkongsian untuk membolehkan PKS membina daya tahan kewangan.
Katanya, sejak bermula pandemik, RHB menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan berkaitan COVID-19 dan setakat 22 September lalu, kumpulan juga sudah menyediakan bantuan pembayaran balik kepada hampir 7,000 PKS dengan kemudahan pinjaman serta pembiayaan berjumlah RM12 bilion.
"Bagi membantu memacu daya tahan perniagaan, kami bekerjasama dengan Beep.it, Food Market Hub dan Lapasar untuk menyediakan pelanggan PKS akses mudah kepada platform e-dagang pada kadar kompetitif.
"Menerusi program RHB #JomSapot pula, kami secara aktif terus membantu PKS mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada asas pelanggan kami yang luas tanpa kos tambahan.
"Sokongan turut diperluaskan menerusi ekosistem digital PKS kami yang komprehensif bagi meningkatkan kecekapan operasi dalam kalangan pelanggan PKS," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bantuan turut termasuk memudahcara penyampaian bantuan pembiayaan kerajaan seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF) dan Kemudahan Bantuan dan Pemulihan Bersasar (TRRF).
Selain itu beliau berkata, RHB terus menyokong usaha pemulihan lebih meluas menerusi program RHB BizPower Relief Financing (BRF) untuk memberikan akses modal yang amat diperlukan pada kadar mampu milik kepada lebih ramai PKS, terutama yang terkesan oleh pandemik COVID-19 berpanjangan.
"RHB akan terus menyediakan sokongan kewangan dan jenis bantuan lain kepada pelanggan PKS, termasuk perusahaan mikro, sambil secara aktif merancakkan aktiviti perniagaan domestik sejajar dengan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat," ujarnya. -DagangNews.com