RHB Investment kekal saranan ‘beli’ terhadap IHH Healthcare berikutan kemantapan strategi pelaksanaan | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal saranan ‘beli’ terhadap IHH Healthcare berikutan kemantapan strategi pelaksanaan

Salah satu hospital Acibadem yang terletak di Istanbul, Turkiye
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt - RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap IHH Healthcare Bhd dengan harga sasaran RM6.90 sesaham berikutan kemantapan strategi pelaksanaannya dan reputasinya merentasi rantau utama, didorong oleh kesedaran jenama yang kukuh dan pelanggan mewahnya.

 

Susulan lawatan ke Istanbul, firma penyelidikan itu terkejut dengan kemudahan perubatan canggih di hospital Acibadem di Turkiye.

 

Acibadem mempunyai 24 hospital dan 14 klinik pesakit luar di lima negara, termasuk Turkiye, Macedonia, Serbia, Bulgaria dan Belanda.

 

“Lima daripada 24 hospitalnya diperakui Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) disebabkan piawaian emas antarabangsa untuk kualiti dan keselamatan pesakit.

 

“Acibadem terus mengintai peluang M&A kerana ia merancang untuk menambah sejumlah 580 katil (380 di Turkiye dan 200 di Eropah) dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, hospital tersebut menyumbang 30% daripada pendapatan kumpulan pada suku kedua tahun ini berbanding 23% tahun lalu berikutan pembukaan Hospital Atasehir (September 2022) dan pengambilalihan hospital Ortopedia (Ogos 2022) dan Kent Group (Februari 2023).

 

“Dari segi jumlah pesakit, kumpulan itu melaporkan 60,333 pesakit pada suku kedua tahun ini, dengan kadar penghunian katil (BOR) sebanyak 67%, melepasi tahap sebelum pandemik,” tambahnya.

 

Di samping itu, RHB Investment berkata perbelanjaan penjagaan kesihatan Turkiye telah menyaksikan pertumbuhan luar biasa dalam tempoh lima tahun lalu, dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 24.2% antara 2016 dan 2021.

 

Ini didorong oleh peningkatan dalam penyakit tidak berjangkit dan kronik seperti kanser, diabetes dan penyakit pernafasan kronik akibat penuaan, merokok, mengurangkan aktiviti fizikal, dan peningkatan pencemaran.  - DagangNews.com