RHB Investment mengekalkan unjuran ekonomi Malaysia tumbuh pada 4.6% tahun 2024 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment mengekalkan unjuran ekonomi Malaysia tumbuh pada 4.6% tahun 2024

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Feb - Pertumbuhan ekonomi Malaysia 2024 diunjurkan meningkat kepada 4.6%, berbanding 3.7% pada 2023, kata RHB Investment Bank.

 

"Kami kekal berpandangan bahawa momentum pertumbuhan berlaku dengan lebih baik tahun ini, disokong oleh prospek perdagangan yang lebih cerah dan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan," kata firma penyelidikan itu.

 

Menurut nota kajiannya, RHB Investment berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan pada suku keempat tahun 2023 (4Q23) kepada 3.0% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan oleh angka ekonomi pada Disember 2023.

 

Kata beliau, pihaknya berpandangan penyusutan tidak dijangka itu disebabkan kesan bermusim dan eksport yang perlahan ke beberapa negara termasuk Singapura.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ekonomi catat pertumbuhan 3% pada suku keempat 2023, dibantu perbelanjaan isi rumah ketika eksport lemah - BNM

 

"KDNK pada Disember merekodkan pertumbuhan perlahan 1.4%  berbanding 3.8% pada November dan Oktober (3.9%)," katanya.

 

Menurut RHB Investment, momentum pertumbuhan pada tahun ini akan menyaksikan peningkatan sepantas suku pertama 2024 (1Q24) pada kadar 4.4%-4.5%.

 

Kata firma itu, ini susulan persekitaran luaran yang lebih baik di samping data-data ekonomi yang menunjukkan prospek ekonomi yang positif pada 2024.

 

Antara yang digariskan dalam nota kajian RHB Investment itu ialah pertubuhan ekonomi global, peningkatan permintaan elektrik dan elektronik, pemulihan sektor pembuatan di China dan peningkatan jualan semikonduktor global.- DagangNews.com