RHB Investment menilai Solar District Cooling Group pada 46 sen sesaham | DagangNews Skip to main content

RHB Investment menilai Solar District Cooling Group pada 46 sen sesaham

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Sept - RHB Investment memberikan nilai wajar kepada penyedia sistem pengurusan bangunan (BMS), Solar District Cooling (SDC) Group Bhd pada 46 sen sesaham.

 

Penilaian itu menunjukkan potensi kenaikan 21% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) 38 sen sesaham SDC Group yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 19 September 2024.

 

Kumpulan itu dinilai dengan pendapatan sesaham tahun kewangan 2025 (FY2025) sebanyak 21x dan ia adalah sejajar dengan purata industry wajaran rakan setaranya tetapi pada premium 5% berbanding KJTS Group yang dipercayai adalah wajar memandangkan model perniagaan dengan margin tinggi.

 

"SDC Group terlibat dalam penyediaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan bangunan (BMS), sistem thermal suria dan perkhidmatan penjimatan tenaga.

 

"Mereka juga menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan untuk sistem serta peralatan lain dan Malaysia merupakan pasaran utamanya yang menyumbang 99.5% daripada hasil FY23.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Solar District Cooling Group meterai taja jamin dengan Mercury Securities untuk IPO di Pasaran ACE

 

"Pelanggan utama termasuk syarikat pembinaan, firma pengurusan kemudahan, syarikat konsesi yang menyediakan perkhidmatan sokongan hospital awam dan lain-lain," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan, hasil SDC Group berkembang pada CAGR sebanyak 23.6% selama tiga tahun, didorong oleh BMS dan sistem thermal suria dan segmen perkhidmatan penjimatan tenaga.

 

Katanya, pertumbuhan itu didorong peluang dalam memperbaharui bangunan sedia ada dan projek pembinaan baharu. 

 

"Dengan tujuh kontrak perkhidmatan prestasi tenaga untuk hospital, kumpulan itu berada pada kedudukan yang baik untuk menguasai lebih banyak perniagaan," katanya.

 

SDC Group menyasarkan untuk mengumpul RM45.09 juta daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO berharga 38 sen sesaham, membabitkan terbitan awam sebanyak 118.67 juta saham baharu. - DagangNews.com