RHB Investment mulakan liputan ke atas Synergy House dengan saranan ‘beli’, TP RM1.08 sesaham | DagangNews Skip to main content

RHB Investment mulakan liputan ke atas Synergy House dengan saranan ‘beli’, TP RM1.08 sesaham

[Foto Synergy House]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan - RHB Investment memulakan liputan ke atas syarikat perabot Synergy House Berhad dengan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) RM1.08 sesaham, ditambat pada nisbah harga kepada pendapatan (P/E) tahun kewangan 2024 (FY24) sebanyak 15 kali ganda.

 

Setakat pukul 11:16 pagi ini, saham Synergy House telah menokok 8 sen atau 11.6% kepada 77 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM385 juta.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat yang tersenarai di pasaran ACE Bursa Malaysia pada 1 Jun 2023 itu menonjol berbanding penggiat perabot tersenarai lain dengan model ringan asetnya – bertumpukan kepada reka bentuk dan jualan dalam talian (80% daripada jualan bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2023 [9MFY23]).

 

“Ini menyelamatkannya daripada kos overhed yang tinggi, serta membolehkannya menjadi serba boleh dan pantas dalam menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

 

“Dengan pulangan atas ekuiti (ROE) FY24 sebanyak 32%, kami percaya penilaian semasanya menarik – ia didagangkan pada nisbah harga/pendapatan-kepada-pertumbuhan (PEG) FY24 yang rendah 0.29 kali ganda dan pada diskaun tinggi kepada purata pesaing,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut RHB Investment, ditambah dengan rancangan pengembangannya, Synergy House diramalkan berkembang pada pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun sebanyak 38.1%.

 

Risiko negatif utama saranan firma itu termasuk kebergantungan kepada pengilang pihak ketiga, ketiadaan kontrak jangka panjang dengan pelanggan perniagaan kepada perniagaan (B2B), risiko persaingan dan pendedahan yang tinggi kepada turun naik pertukaran mata wang asing.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan itu merupakan satu-satunya pengedar perabot e-dagang rentas sempadan Malaysia, dengan pendedahan di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menerusi eksport perabot sedia dipasang (RTA), yang dianggap sebagai barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) mampu milik.

 

Sementara itu, jualan perniagaan kepada pengguna (B2C) dilihat bakal mengatasi jualan B2B selepas mencatat peningkatan jumlah jualan kepada 43% berbanding 25.6% dalam FY22.

 

“Dengan mencerminkan kejayaan Wayfair AS dalam platform lain, jualan B2C bermargin lebih tinggi kumpulan itu berada di landasan untuk mencapai 70% jumlah jualan menjelang 2025. Melangkah ke hadapan, Synergy menyasarkan perkembangan B2C ke pasaran baharu, termasuk Jerman dan Perancis,” tambahnya.

 

Dengan perkembangan jualan dalam talian, RHB Investment berpendapat bahawa tumpuan kumpulan kepada e-dagang adalah tepat pada masanya, kerana pertumbuhan jualan perabot dalam talian (CAGR 2022-2028 sebanyak 12.6%) baru-baru ini telah melepasi pertumbuhan jualan kedai fizikal tradisional.  - DagangNews.com