RHB Investment naikkan harga sasaran IJM Corp kepada RM4.34, kemungkinan raih kerja pembinaan lebuh raya baharu | DagangNews Skip to main content

RHB Investment naikkan harga sasaran IJM Corp kepada RM4.34, kemungkinan raih kerja pembinaan lebuh raya baharu

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 16 Julai - RHB Investment Bank menyemak naik harga sasaran (TP) IJM Corporation Bhd. kepada RM4.34 daripada RM3.60 sesaham sebelum ini iaitu potensi kenaikan harga saham 23% dengan mengekalkan saranan 'Beli'.

 

Firma penyelidikan itu juga mengunjurkan kadar hasil dividen IJM Corp kira-kira 2% untuk tahun kewangan 2025 (FY2025F).

 

Menurutnya, pemangkin utama perolehan adalah penerimaan kerja yang lebih awal daripada jangkaan khususnya daripada segmen bangunan perindustrian seperti pusat data, gudang dan kilang.

 

"Kami masih berpandangan positif terhadap IJM Corp ekoran pelibatannya yang semakin mengukuh dalam bidang kerja perindustrian, penglibatan yang semakin besar di Sarawak, kemungkinan untuk pecah tanah projek di Indonesia dan meraih kerja pembinaan lebuh raya baharu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, buku pesanan belum bayar IJM Corp sekarang mencapai kira-kira RM7.3 billion.

 

Katanya, IJM melihat trend menaik pada buku pesanannya pada FY24 lebih-lebih lagi selepas meraih kontrak RM1.1 bilion untuk membina kompleks CIQ bagi Rangkaian Sistem Transit Laju di Johor pada Oktober 2023.

 

Sementara itu, kata RHB Investment, laporan berita mengenai projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura patut menarik minat pelabur asing kerana IJM terlibat dalam salah satu konsortium yang menghantar cadangan konsep kepada MyHSR Corp pada Januari.

 

Katanya, paras pegangan saham asing IJM Corp setakat akhir bulan Mei mencecah 18.6% berbanding 14.8% pada bulan Disember 2023. 

 

ijm

 

"Faktor pemangkin akan datang muncul daripada pasaran Sarawak dan Indonesia (terutamanya di ibu negara baharunya, Nusantara) menerusi projek perumahan penjawat awam bernilai kira-kira RM1 bilion (keputusan mungkin diketahui sebelum akhir 2024). 

 

"Dalam pasaran tempatan, IJM menjalin kerjasama dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad dan Lim Seong Hai Capital untuk mengkaji laluan yang boleh dilaksanakan khusus di kawasan Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor dan perkara ini mungkin membuka ruang untuk kerja pembinaan lebuh raya baharu," jelasnya.

 

Dalam pada itu, RB Investment tidak menolak kemungkinan IJM membida untuk pakej-pakej selebihnya di bawah projek Transit Aliran Autonomi Kuching (KART) seperti Laluan Biru Pakej 2 dengan tarikh tutup penghantaran tender bagi pakej ini ialah 18 Jun 2024. 

 

"Tambahan lagi, bahagian hartanahnya, IJM Land menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Sarawak Metro dan Liang Court Wanisara untuk membina laluan penghubung baharu ke sebuah stesen yang terletak di Laluan Biru. 

 

"Hal ini menunjukkan kegigihan kumpulan ini untuk mengembangkan operasinya di wilayah tersebut," ujarnya.- DagangNews.com