RHB Investment ramal prospek positif terhadap Gadang didorong pelancaran pelbagai projek infrastruktur baharu daripada kerajaan | DagangNews Skip to main content

RHB Investment ramal prospek positif terhadap Gadang didorong pelancaran pelbagai projek infrastruktur baharu daripada kerajaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Ogos - RHB Investment meramalkan prospek positif untuk Gadang Holding Bhd didorong pelancaran pelbagai projek infrastruktur daripada kerjaan, hartanah baharu di Selangor dan Johor selain pendapatan berulang daripada segmen utilitinya. 

 

Katanya, kumpulan itu mempunyai pesanan kerja bernilai RM1.1 bilion pada akhir Mei 2024, diterjemahkan kepada buku pesanan/nisbah perlindungan hasil sebanyak 4x berdasarkan hasil pembinaan FY24.

 

"Kami melihat kelebihannya dalam projek infrastruktur awam berpotensi meletakkan kumpulan itu dalam kedudukan strategik bagi memanfaatkan jangkaan pelancaran kerja daripada kerajaan.

 

"Sebelum ini, pendedahan kumpulan itu dalam projek berkaitan kerajaan agak pelbagai - terdiri daripada hospital, projek landasan kereta api dan lebuh raya.

 

"Prospek penambahan pekerjaan disokong oleh saiz buku tender kumpulan antara RM2 bilion hingga RM3 bilion (anggaran kadar kejayaan 20% ingga 25%), yang kebanyakannya berkaitan dengan projek infrastruktur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan, kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) pendapatan tiga tahun (2024-2027) lebih daripada 50% untuk Gadang, sebahagian besarnya seiring dengan penambahan buku pesanan yang lebih kukuh dan prospek pasaran hartanah.

 

Katanya, margin keuntungan bersih berulang dijangka berada antara 3% hingga 3.9% pada FY25 hingga FY27 dengan mengambil kira andaian pesanan penambahan tahunan sebanyak RM500 juta untuk FY25-FY26 dan RM400 juta pada FY27.

 

"Ia kemudiannya digabungkan dengan tekanan kos yang lebih rendah daripada projek yang diperoleh sebelum atau semasa kerisi Rusia-Ukraine pada suku pertama 2022," katanya.

 

RHB Investment berkata, kumpulan itu bagaimanapun berdepan pelbagai risiko termasuk penambahan kerja yang lebih perlahan daripada jangkaan, turun naik harga bahan binaan yang sukar dijangka serta kekurangan tenaga kerja secara tiba-tiba.

 

"Kami mengekalkan harga wajar (FV) sebanyak 58 sen sesaham untuk kumpulan itu," katanya. - DagangNews.com