RHB Investment semak turun unjuran pendapatan Gamuda antara 4% hingga 5% bagi FY24-FY26 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan Gamuda antara 4% hingga 5% bagi FY24-FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - RHB Investment menyemak turun unjuran pendapatan Gamuda Bhd antara 4% hingga 5% bagi FY24 hingga FY26 kerana jangkaan untuk pengebilan awal kumpulan itu adalah terlalu optimis.

 

Katanya, untung bersih teras 1HFY24 kumpulan sebanyak RM404 juta tidak mencapai anggaran serta anggaran purata dan hanya membentuk 42% dan 41% daripada unjuran FY24.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu masih berada di posisi terbaik untuk mencatat satu lagi rekod keuntungan bagi FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, pendapatan suku kedua kumpulan itu melonjak 53% kepada RM3.4 bilion berbanding RM2.2 bilion yang dicatatkan tahun lalu, manakala untung bersih suku tahunan meningkat 7% kepada RM209 juta.

 

Pendapatannya untuk separuh pertama naik hampir dua kali ganda kepada RM6.2 bilion daripada RM3.7 bilion pada tahun sebelum ini, manakala untung bersihnya menokok 19% kepada RM404 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Gamuda catat untung bersih RM208.8 juta pada 2QFY24 didorong projek luar negara

 

Syarikat kejuruteraan, hartanah dan infrastruktur serantau itu mengaitkan prestasinya yang lebih cemerlang kepada hasil luar negara dan untung bersihnya bertambah baik disebabkan oleh peningkatan dalam projek luar negara terutamanya di Australia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan pembinaan kumpulan itu berjumlah RM24 bilion pada akhir Januari 2024 selain kontrak baharu bernilai RM4.8 bilion dengan Empangan Hidroelektrik Padas Atas berpotensi menambah sekurang-kurangnya Antara RM2 bilion hingga RM3 bilion lagi pada buku pesanan.

 

Kontrak tempatan seperti Transit Aliran Ringan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B berkemungkinan dianugerahkan menjelang akhir FY24.

 

"Projek masa hadapan Gamuda di Australia kelihatan kukuh, DT Infrastructure dianggarkan memperoleh sekurang-kurangnya AU$500 juta pekerjaan baharu setiap tahun.

 

"Oleh itu, kami melihat bahawa sasaran kemenangan pekerjaan baharu sebanyak RM25 bilion antara FY24 dan FY25 boleh dicapai tanpa mengira kemenangan kontrak Transit Aliran Massa 3 (MRT3)," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM6.30 sesaham.- DagangNews.com