RHB Investment semak turun unjuran pendapatan MGB akibat kenaikan kos bahan mentah | DagangNews Skip to main content

RHB Investment semak turun unjuran pendapatan MGB akibat kenaikan kos bahan mentah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Mei - RHB Investment Bank Berhad menyemak turun unjuran pendapatan MGB Berhad bagi FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 32.5% dan 30.4% selepas mengambil kira peningkatan kos bahan mentah.

 

Firma itu berkata, peningkatan kos itu itu akan memberi kesan kepada margin keuntungan kumpulan.

 

Firma itu turut menyemak semula pengiktirafan hasil selepas berlaku sedikit kelewatan dalam pelancaran projek Idaman. 

 

"Kami melihat terdapat beberapa risiko yang akan memberi kesan kepada perkembangan kumpulan termasuk kenaikan harga bahan binaan untuk jangka panjang dan penangguhan lebih lama untuk pelancaran projek Rumah Idaman," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan bersih kumpulan menurun sebanyak 29.2% kepada RM7.14 juta untuk suku pertama yang berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM10.09 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, pendapatan kumpulan meningkat 6.57% kepada RM178.59 juta pada suku pertama daripada RM167.59 juta pada tahun lalu.

 

Firma itu berkata, trend peningkatan harga bahan binaan dijangka berterusan sehingga 2023.

 

Bagi menangani isu tersebut, pihak pengurusan MGB dengan menggunakan hubungan baik mereka dengan pembekal untuk mendapatkan harga yang berpatutan.

 

"Pada masa sama kumpulan itu lebih banyak menggunakan dawai keluli dalam pembinaan bangunan berbanding batang keluli kerana lebih menjimatkan.

 

"Sehingga 31 Mac 2022, MGB memiliki tempahan sebanyak RM1.74 bilion dan bakal memberikan pendapatan yang jelas untuk tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM0.83. - DagangNews.com