RHB Investment unjur perbelanjaan iklan tidak banyak berubah meski terdapat acara besar pada 2024 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment unjur perbelanjaan iklan tidak banyak berubah meski terdapat acara besar pada 2024

Perbelanjaan periklanan mencatat kenaikan 1.6% dari Januari hingga November 2023 berdasarkan laporan Nielsen Media Research. - Gambar Eleni Afiontzi
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Jan - Perbelanjaan periklanan (adex) dijangka terus berdepan situasi mencabar akibat kekangan makroekonomi dan faktor luaran global meski pun Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) diunjurkan lebih kukuh pada 2024.

 

Menurut RHB Investment Bank, kadar inflasi yang lebih tinggi, ketidaktentuan dan kebimbangan kesan daripada program subsidi bersar serta cabaran geoplolitik global menyebabkan adex terus dilihat tidak akan banyak berubah.

 

"Kami ramalkan adex akan berkembang antara digit tunggal rendah hingga sederhana untuk 2024 (2023F: +1-2% YoY) dengan disokong oleh pertumbuhan KDNK lebih kukuh, pengembangan adex digital dan penganjuran acara yang meningkatkan aktiviti pengiklanan seperti Sukan Olimpik Paris 2024 dan UEFA Euro 2024," katanya.

 

Firma itu dalam nota kajian hari ini berkata, perbelanjaan periklanan mencatat kenaikan 1.6% dari Januari hingga November 2023 berdasarkan laporan Nielsen Media Research (NMR). 

 

Katanya, kenaikan ini disumbangkan peningkatan 12.8% dalam media digital, pertambahan 2.8% dalam televisyen siaran percuma (FTA) dan peningkatan 14.8% dalam bentuk media yang lain. 

 

"Namun begitu, sebahagian peningkatan ini dilemahkan oleh kegiatan pengiklanan yang menurun dalam media cetak (-14.3%) dan radio (-5.9%). 

 

"Untuk makluman, perbelanjaan periklanan di akhbar sudah jatuh untuk bulan ke-13 berturut-turut," jelas RHB Investment.

 

Kata firma itu, memandangkan sektor ini diramalkan mencatat prestasi perolehan yang lemah dan kebanyakannya sudah diambil kira oleh pasaran, para pelabur disaran untuk mengambil strategi beta dengan memilih saham secara taktikal.

 

Menurutnya, ini agar mereka dapat memanfaatkan keadaan ekonomi yang semakin pulih dengan saranan 'Neutral' dikekalkan buat sektor ini dengan Media Prima sebagai syarikat pilihan utama.

 

"Sebagai penerima manfaat utama pertumbuhan perbelanjaan pengiklanan, Media Prima menjadi syarikat proksi yang kukuh dalam pemulihan adex. 

 

"Pihak pengurusan akan memberikan tumpuan untuk menjayakan pelan perniagaan ini selama tiga tahun (kandungan, usaha mempremiumkan inventori dan menerokai sumber pendapatan baharu) agar dapat memacu nilai pemegang saham dalam jangka lebih lama. 

 

"Kumpulan ini berhasrat memenuhi kehendak penonton yang menginginkan kandungan tempatan menerusi khidmat permintaan video penstriman (SVOD) berasaskan langganan baharu, TontonUp dan mungkin melabur dalam pendigitalan papan iklan (Big Tree Outdoor) bagi meraih peratusan adex lebih tinggi," ujar RHB Investment Bank. - DagangNews.com