KUALA LUMPUR 29 Jan - RHB Islamic Bank Bhd menyasarkan untuk menaja sehingga RM1 juta dari dana zakat wakalah bagi program-program Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dalam tempoh tiga tahun bagi memperkasakan pendidikan melalui program 'B40 Education Empowerment Programme' (BEEP).
RHB Islamic berkata, program kerjasama pihaknya dan YPM itu merupakan inisiatif rakan strategik dalam memberi ruang dan peluang kepada pelajar B40 untuk mendapatkan akses bimbingan secara percuma serta pendedahan akademik melalui beberapa program yang disediakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.
"Kerjasama ini juga akan memanfaatkan seramai lebih daripada 2,500 pelajar dari segmen B40 bagi membantu mereka dalam bidang pelajaran untuk mencapai kecemerlangan menerusi program-program yang dilaksanakan dibawah Program BEEP hasil kerjasama YPM dan RHB Islamic," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali menyerahkan replika cek berjumlah RM1 juta untuk program B40 Education Empowerment Programme 2023–2025 kepada Ketua Pegawai Eksekutif YPM, Faisalludin Mohamat Yusuff, yang turut disaksikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sementara itu, Adissadikin berkata, program-program kendalian YPM adalah satu usaha murni dan berimpak tinggi.
"Oleh sebab itu, kami di RHB Islamic mengalu-alukan hubungan strategik bersama YPM dalam usaha memperhebat aspek pendidikan dan pelajaran untuk manfaat para pelajar dari segmen B40 dan asnaf.
"Program ini juga selari dengan agenda sosial harmoni oleh RHB Islamic. Kami percaya pendidikan merupakan aset bernilai dapat mengubah masa hadapan mereka dan berharap usaha ini dapat memberi kesan positif dalam jangka masa panjang bagi meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga," katanya.
Asyraf Wajdi pula berkata, beliau berharap jalinan kerjasama tersebut dapat diperkukuhkan lagi dengan pelbagai pihak terutamanya agensi-agensi kerajaan dan badan korporat bagi bersama-sama ke arah meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa terutamanya di kawasan luar bandar.
"Bila kami turun ke lapangan, kami lihat anak-anak di luar bandar ini mempunyai potensi tinggi untuk berjaya.
"Kesukaran hidup menjadi perangsang untuk mereka lebih memajukan diri dan mengubah nasib keluarga. Prospek seperti inilah yang perlu kita garap agar menjadi insan yang berguna untuk keluarga, bangsa dan negara," katanya. - DagangNews.com