KUALA LUMPUR 14 Sept. - RHB Banking Group melancarkan kempen #JomSapot sebagai satu inisiatif untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempromosikan produk mereka kepada pengguna.
Kempen yang dijalankan selama tiga bulan bermula 1 September hingga 30 November 2020 itu adalah bersempena dengan sambutan Hari Malaysia.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, inisiatif tersebut membawa PKS ke platform digital khusus yang membolehkan produk mereka dipasarkan secara langsung oleh pihak bank.
"Inisiatif ini bertujuan membantu pertumbuhan aktiviti perniagaan selain menyokong PKS untuk terus bertahan.
"Semasa menekan butang ikrar, berkongsi ikrar di media sosial dan membuat pembelian di gerai, ia menunjukkan rasa perpaduan dan solidariti yang tinggi di samping memastikan kejayaan perniagaan tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laman web kempen #JomSapot membawa pasaran dalam talian kepada pembelian sebenar melalui ikrar yang disepadukan dengan media sosial.
Sistem tersebut membolehkan pelanggan berkongsi sokongan mereka dengan lebih terbuka terhadap perniagaan tempatan.
Pengguna kemudiannya boleh membuat pembelian mereka di kedai atau gerai PKS yang terpilih.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan RHB, Abdul Sani Abdul Murad berkata, inisiatif itu adalah satu kaedah perniagaan yang luar biasa kepada peniagaan tempatan.
"Ia adalah termasuk promosi dan sokongan pemasaran melalui pelaburan oleh RHB bagi membantu meningkatkan kesedaran dalam perniagaan sekali gus menggalakkan rakyat Malaysia untuk berbelanja dengan mereka.
"Pelanggan RHB yang melakukan pembelian dengan menggunakan kad kredit RHB, kad debit atau DuitNow QR melalui aplikasi RHB akan menikmati pulangan tunai hingga RM650," tambahnya. - DagangNews.com