RHB Research jangka projek mega LRT di Johor Bahru lewat terima kelulusan kerajaan | DagangNews Skip to main content

RHB Research jangka projek mega LRT di Johor Bahru lewat terima kelulusan kerajaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mac - RHB Research menjangkakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Johor Bahru bakal berdepan kelewatan kelulusan iaitu antara enam hingga 12 bulan daripada kerajaan kerana ia memerlukan pelbagai kajian serta kelulusan daripada pelbagai pihak.

 

Firma penyelidikan itu berkata, projek pembangunan melibatkan kerjasamana Nylex (M) Berhad,  LBS Bina Group Berhad, Sinar Bina Infra (SBI) dan BTS Group itu memerlukan pelbagai kelulusan termasuk pembiayaan, daya maju komersial, jajaran rangkaian rel, pengambilan tanah dan sebagainya.

 

Menerusi projek itu juga, LBS Bina akan dapat menjana pendapatan daripada tiga lot tanah yang akan terlibat dengan pembangunan yang menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura.

 

"Bagaimanapun, proses kelulusan untuk projek mega seperti ini akan memakan masa yang lama.

 

"Selepas mengambil kira perkara tersebut, kami tidak membuat sebarang perubahan untuk jangkaan pendapatan kumpulan buat masa sekarang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Public Investment jangka projek LRT akan jadikan Johor Bahru bandar bertaraf antarabangsa

 

Projek LRT itu sedang menjalani proses kajian kebolehlaksaan dengan anggaran kapasiti penumpang 15,000 penumpang setiap jam sepadan dengan kemampuan RTS Link yang sedang dibina dari Singapura ke Johor Bahru.

 

Projek LRT itu boleh menjangkau jarak 75km dengan fasa awal projek LRT di pusat bandar Johor Bahru adalah kira-kira 9km.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan projek itu bagaimanapun tertakluk kepada kajian kebolehlaksanaan yang sedang disiapkan, dan pemberian anugerah konsesi oleh Kerajaan Johor.

 

Difahamkan, Datuk Avinderjit Singh Harjit Singh dan Tunku Abdul Majid Sultan Iskandar merupakan pemegang saham SBI akan memainkan peranan untuk berhubung dengan kerajaan negeri dan mendapatkan konsesi LRT itu.

 

"Kami juga tidak membuat sebarang perubahan terhadap jangkaan pendapatan kumpulan LBS sehingga menerima 'lampu hijau' daripada kerajaan negeri untuk projek itu.

 

"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM0.63 selepas mengambil kira potongan 60% terhadap Aset Bersih yang Dinilai Semula (RNAV)," katanya. - DagangNews.com