KUALA LUMPUR 25 Mac - RHB Research menjangkakan Sime Darby Bhd. akan melupuskan aset bukan teras termasuk unit penjagaan kesihatan bagi memberi tumpuan kepada segmen permotoran dan perindustrian.
Dalam hal ini, penganalisisnya, Jim Lim Khai Xhiang tidak menolak kemungkinan Sime Darby akan menerima tawaran IHH Healthcare untuk mengambil alih 100% kepentingan Ramsay Sime Darby Health Care Sdn. Bhd.
Beliau menganggarkan Sime Darby akan memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM1.8 bilion daripada langkah pelupusan tersebut.
"Dengan anggaran hasil bersih diperoleh sebanyak RM2.6 bilion, pengagihan 100% itu menterjemahkan potensi dividen sesaham khas sebanyak 39 sen sesaham.
"Kami juga menaikkan unjuran pendapatan sebanyak 1 hingga 2% bagi tahun kewangan 2022 (FY22)-FY24 selepas menyemak semula anggaran bagi unit penjagaan kesihatan.
"Dengan untung bersih lebih tinggi bagi 2022 sebanyak RM39 juta, kami kini secara konservatif menilai unit penjagaan kesihatan pada RM1.6 bilion, yang mencerminkan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM2.40, termasuk premium 0% ESG," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada Selasa, Sime Darby Holdings Bhd. dan Ramsay Health Care Ltd telah menerima cadangan daripada IHH Healthcare untuk pengambilalihan 100% daripada syarikat usaha sama 50:50, Ramsay Sime Darby.
Di bawah cadangan indikatif itu, nilai perusahaan indikatif bersyarat untuk pengambilalihan itu ialah RM5.67 bilion atas asas tanpa tunai, tanpa hutang.
Khai Xhiang juga berkata, kumpulan kemungkinan merancang melupuskan pegangannya dalam Weifang Port di China dan Malaysia Vision Valley Land.
"Ini merupakan sebahagian langkah berterusan kumpulan untuk melupuskan aset bukan teras sejajar dengan strategi untuk memberi tumpuan kepada segmen perindustrian dan permotoran," jelasnya.
Bagaimanapun, menurutnya, kekurangan cip dan alat ganti kereta secara berterusan boleh memberi risiko kepada jualan kereta dalam tempoh terdekat.
Katanya, kelemahan dalam segmen perindustrian China mungkin lebih lama daripada jangkaan, manakala margin perindustrian Australasia sepatutnya bertambah baik secara berturutan.
"Walaupun risiko jangka pendek dalam segmen permotoran dan perindustrian mungkin menjadi faktor utama, tetapi potensi dividen khas dan hasil 4% boleh menyediakan jaringan keselamatan," katanya.
Beliau percaya jualan kenderaan di China akan kembali meningkat selepas beberapa bahagian di negara tersebut melonggarkan sekatan pergerakan.
"Permintaan yang kukuh, inventori yang ketat dan ketidakanjalan harga kereta mewah seharusnya membolehkan Sime Darby mengekalkan margin segmen permotoran, walaupun alat ganti kereta lebih mahal," tambahnya.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Sime Darby dengan TP dinaikkan kepada RM2.40 berbanding RM2.30 sebelum ini.
Setakat 10.58 pagi ini, harga sahamnya menokok 12 sen atau 5.13% kepada RM2.46 dengan 6.43 juta saham diniagakan. - DagangNews.com