RHB Research kekal saranan 'beli' untuk CTOS Digital selepas catat pertumbuhan kukuh dalam ekonomi digital | DagangNews Skip to main content

RHB Research kekal saranan 'beli' untuk CTOS Digital selepas catat pertumbuhan kukuh dalam ekonomi digital

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap CTOS Digital Berhad dengan harga sasaran (TP) RM2.22 selepas mereka mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam akaun utamanya dan segmen terus kepada penggunanya.

 

Firma itu berkata, sepanjang separuh pertama 2022, keuntungan selepas cukai, pelunasan dan kepentingan minoriti (PATAMI) kumpulan itu meningkat dua kali ganda kepada RM38.1 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

 

Katanya, pendapatan kumpulan dirangsang oleh sumbangan daripada pemerolehannya dalam JurisTech, pendapatan dividen daripada RAM Holdings dan kos faedah yang lebih rendah, yang lebih daripada mengimbangi kenaikan kos kakitangan dan perbelanjaan sokongan IT.

 

Firma itu berkata, pendapatan keseluruhan meningkat 24% tahun ke tahun atas permintaan yang kukuh untuk rangkaian perkhidmatannya, termasuk Laporan Sistem Data CTOS, penyelesaian digital, ulasan portfolio komprehensif dan perkhidmatan analitik daripada ketiga-tiga segmen pasaran utamanya.

 

"Sasaran CTOS untuk FY22 berada di landasan tepat, kami percaya mereka akan terus memanfaatkan perkembangan ekonomi digital bersama dengan penerimaan yang lebih tinggi dan penyelesaian baharu.

 

"Kumpulan itu akan terus membangunkan peluang sinerginya di Malaysia dan Thailand melalui pelbagai rancangan M&A serta meningkatkan cadangan penyelesaian pinjaman digital yang unik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM22.5 juta untuk 2QFY22 berakhir 30 Jun 2022.

 

Pendapatan kumpulan itu juga meningkat 22.9% kepada RM46.51 juta untuk suku kedua berbanding RM37.8 juta tahun lalu, didorong oleh prestasi kukuh daripada perniagaan terasnya merentas ketiga-tiga segmen perniagaannya. - DagangNews.com