KUALA LUMPUR 23 Nov - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Guan Chong Bhd. di sebalik prestasi kewangannya yang lemah pada suku ketiga berakhir 30 September 2022.
Untung bersih syarikat pengisar koko keempat terbesar dunia itu susut 10.7% kepada RM30.4 juta berbanding RM34.5 juta pada tahun sebelumnya kesan daripada kenaikan kadar faedah dan kelemahan ringgit.
Namun, pendapatan kumpulan meningkat 10.3% kepada RM1.1 bilion pada suku berkenaan berbanding RM998.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Firma itu kekal positif dengan prestasi Guan Chong bagi suku keempat berdasarkan kepada prospek yang lebih baik dan potensi penembusan hasil daripada kilang Ivory Coast dengan pengeluaran 60,000 tan pada 2023.
"Kilang Ivory Coast akhirnya telah memulakan operasi dan dijangka meningkatkan kapasiti kepada optimum menjelang Disember ini dengan jangkaan sumbangan penuh akan datang pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
"Di samping itu, aliran penurunan kos tenaga dan harga jualan purata (ASP) yang lebih tinggi dijangka memacu keuntungan yang lebih baik untuk operasi kilang Schokinag-Schokolade-Industrie GmbH (Shcokinag) di Jerman bergerak ke hadapan bersama-sama dengan pengembangan kapasiti untuk coklat industri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca : Untung bersih Guan Chong bagi 3QFY22 menyusut 10.7% kepada RM30.4 juta kesan kenaikan kadar faedah
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih meningkat 22.81% kepada RM128.64 juta daripada RM104.74 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 16.02% kepada RM3.29 bilion daripada 2.83 bilion.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Guan Chong, Brandon Tay Hoe Lian berkata, operasi kumpulan menghadapi dinamik pasaran yang berubah dengan pantas, seperti peningkatan kadar faedah dan kos tenaga di Eropah.
Menurut RHB Research, keuntungan bagi tempoh sembilan bulan adalah tersasar daripada jangkaan firma diheret turun kos faedah yang lebih tinggi daripada jangkaan, kerugian kadar tukaran asing tidak direalisasikan dan kerugian menerusi operasi kilang Schokinag.
Sejajar dengan semakan semula harga sasarannya kepada RM4 daripada RM4.15 sebelum itu, ia mengurangkan unjuran hasil bagi FY22 sebanyak 14.8% selepas mengambil kira sumbangan daripada kilang Schokinag yang lebih rendah dan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi.
"Namun, kami kekal yakin dengan prospek FY23 yang jauh lebih baik berikutan sumbangan penuh daripada Ivory Coast, kenaikan ASP didodorng permintaan kukuh yang mampan di peringkat global dan operasi Schokinag yang kukuh dengan kos tenaga yang lebih rendah dan kapasiti lebih besar.
"Penilaian semasa Guan Chong sangat menarik sebagai pengisar koko terbesar di Asia dengan pelanggan global yang pelbagai," katanya. - DagangNews.com