RHB Research semak naik unjuran pendapatan KKB Engineering sebanyak 7% pada FY24 | DagangNews Skip to main content

RHB Research semak naik unjuran pendapatan KKB Engineering sebanyak 7% pada FY24

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jan - RHB Research menyemak naik unjuran pendapatan KKB Engineering Berhad sebanyak 7% pada FY24 selain meramalkan kumpulan itu mencatatkan penambahan pekerjaan kepada RM500 juta berbanding RM400 juta pada tahun ini.

 

Firma penyelidikan itu menetapkan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM2.02 sesaham berdasarkan kepada unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2024 (FY24) dan 17 kali harga perusahaan.

 

Katanya, ia adalah bagi mencerminkan perbelanjaan domestik minyak dan gas yang kukuh oleh Petronas (RM113 bilion bagi 2023 hingga 2027) dan rekod prestasi KKB dalam mendapatkan pekerjaan berkaitan fabrikasi minyak dan gas bernilai RM1.6 bilion sejak 2014.

 

"Kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) tiga tahun KKB diramal sebanyak 43% bukan sahaja disokong faktor yang disebutkan tetapi juga prospek yang datang daripada fasa kedua program Grid Bekalan Air Sarawak (pekerjaan bernilai RM250 juta di bawah fasa pertama) selain disokong perbelanjaan pembangunan yang direkodkan Sarawak sebanyak RM9 bilion bagi tahun ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Pada akhir September 2023, buku pesanan tertunggak kumpulan hampir RM600 juta dengan RM510 juta diraih pada FY23.

 

Buku tender kumpulan pula berjumlah RM266 juta yang dianggarkan 50% hingga 60% adalah untuk pekerjaan berkaitan minyak dan gas makala selebihnya adalah bagi kontrak kejuruteraan, pembinaan serta pembuatan.

 

Katanya, kumpulan itu juga sedang mengambil bahagian dalam bidaan bagi pekerjaan minyak dan gas dengan anggaran jumlah yang boleh melebihi RM1.5 bilion (kadar kejayaan 25% hingga 35%).

 

"Keputusan bidaan ini mungkin diketahui dalam tempoh 18 bulan akan datang dan suku kedua tahun ini adalah masa paling awal," katanya.

 

RHB Research percaya bahawa kejayaan kumpulan itu meraih projek daripada Samsung Engineeringseperti loji gas darat dan Projek Metanol Sarawak mungkin meletakkan mereka pada kedudukan positif untuk projek berkaitan hidrogen.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan TP RM2.02 sesaham," katanya.

 

Terdahulu, untung bersih KKB melonjak kepada RM9.73 juta pada 3QFY23 berbanding RM1.02 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM140.05 juta daripada RM102 juta sebelumnya.

 

Prestasi suku tahunan yang kukuh itu disokong terutamanya oleh bahagian fabrikasi keluli KKB yang mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 208% tahun ke tahun pada 3QFY23 daripada projek yang sedang dijalankan. - DagangNews.com