RHB Research syor 'jual' saham 4 syarikat utama sarung tangan getah dengan penarafan sektor diturunkan kepada 'underweight' | DagangNews Skip to main content

RHB Research syor 'jual' saham 4 syarikat utama sarung tangan getah dengan penarafan sektor diturunkan kepada 'underweight'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Sept - Ketidakseimbangan permintaan bekalan bagi produk sarung tangan getah dijangka bertahan sekurang-kurangnya selama setahun sebelum mencapai keseimbangan menjelang 2024. 

 

Ini menyaksikan anggaran kadar penggunaan bagi 2023 hingga 2024 masing-masing berada di bawah purata industri sebanyak 5% dan 1.4%. 

 

Walaupun momentum hakisan harga jualan purata (ASP) sepatutnya sederhana dalam tempoh terdekat selepas penyatuan pasaran, kadar penggunaan industri yang tidak optimum akan terus menyeret margin pengeluar sarung tangan, sebelum permintaan boleh meningkat secara beransur-ansur.

 

Susulan itu, RHB Research menyemak turun penarafan sektor sarung getah kepada 'underweight' daripada 'neutral' sebelum ini.

 

Malah, penarafan saham dua syarikat sarung tangan getah di bawah liputannya, Kossan Rubber Industries Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. juga masing-masing disemak turun kepada 'jual' daripada 'beli' dan 'neutral'. 

 

Firma itu turut mengekalkan saranan 'jual' terhadap Supermax Corp. Bhd. dan Top Glove Corp. Bhd. 

 

 

Top Glove

 

 

Penganalisisnya, Oong Chun Sung berkata, semakan yang dijalankannya menunjukkan syarikat pengeluar sarung tangan tempatan tidak mungkin terlibat dalam perang harga dengan pemain dari China walaupun ia menjual sarung tangan pada harga AS$19 setiap 1,000 keping berbanding ASP tempatan sebanyak AS$24 pada Ogos (iaitu perbezaan sebanyak 21%).

 

Katanya, Amerika Syarikat (AS) masih mengenakan tarif import sebanyak 7.5% terhadap sarung tangan dari China meskipun tarif itu dijangka tamat pada akhir November.

 

"Tambahan pula, kami percaya mungkin terdapat potensi risiko hakisan ASP sekiranya Wakil Perdagangan AS memansuhkan tarif ke atas sarung tangan yang diimport dari China," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Tahap inventori beberapa pengedar sarung tangan terkemuka masih tinggi pada Jun (lebih tinggi daripada paras sebelum pandemik COVID-19 kira-kira 30% hingga 50% di sebalik berlaku sedikit penyusutan baru-baru ini.

 

Pengeluaran inventori pengedar sarung tangan boleh mengambil masa sekurang-kurangnya setahun sebelum mereda ke tahap sebelum pandemik memandangkan permintaan yang normal dan terdapat banyak inventori di bahagian pengedar sarung tangan (kira-kira enam bulan).

 

Chun Sung menjangkakan pertumbuhan permintaan global kekal lembap pada 2023 dan 2024 masing-masing pada 4% dan 6%.

 

"Jadi, adalah tidak mengejutkan sekiranya pemain sarung tangan getah tempatan menangguhkan operasi pengeluaran baharu sehingga separuh kedua 2023 berikutan kadar penggunaan industri semasa yang rendah antara 50% hingga 60%.

 

"Ini memandangkan bekalan industri masih kekal tinggi sekitar 429 bilion pada 2022 dengan empat syarikat utama Malaysia menguasi 47% bahagian pasaran dengan kapasiti pengeluaran efektif atau 201.7 bilion keping," jelasnya. 

 

 

hartalega

 

 

Baru-baru ini, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) mengurangkan unjuran bagi permintaan global pada 2022 sebanyak 12% kepada 399 bilion keping berbanding 452 bilion keping manakala bagi 2023, ia menjangkakan pertumbuhan antara 12% hingga 15% tahun ke tahun. 

 

Beliau berpendapat, unjuran MARGMA itu terlalu optimistik, sebaliknya menjangkakan permintaan hanya akan berkembang 4% tahun ke tahun pada 2023, disokong harga yang stabil menjelang separuh pertama 2023.

 

"Permintaan sarung getah dijangka berkembang 6% tahun ke tahun pada 2024," tambahnya.

 

Berdasarkan analisis sensitiviti yang dijalankannya, beliau mendapati pendapatan Supermax akan paling sensitif dengan setiap kenaikan 1% ASP disebabkan struktur kos seperti kos tetap yang lebih tinggi.

 

Dari segi sensitiviti pendapatan terhadap pengukuhan dolar AS, Supermax akan menjadi 'pemenang' disebabkan longgokan tunai yang besar dalam mata wang itu dan pendedahan yang agak rendah kepada hutang dalam denominasi dolar AS.

 

"Top Glove mungkin mendapat manfaat paling sedikit daripada pengukuhan dolar AS, kerana jualannya kepada pelanggan AS telah merosot disebabkan larangan import yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS," katanya.

 

 

supermax

 

 

Chun Sung percaya bahawa sektor itu, pada tahap tertentu, mungkin menghadapi satu lagi pusingan pembetulan, disebabkan kemungkinan pengecualian Top Glove dan Hartalega daripada konstituen utama KLCI, diikuti oleh pengimbangan semula dana pasif selepas perlembagaan semula indeks.

 

"Walaupun risiko penurunan selanjutnya kelihatan boleh diurus untuk Hartalega, selebihnya mungkin mendapati pelbagai halangan sektor lebih mencabar," jelasnya. 

 

Beliau mengurangkan harga sasaran Hartalega kepada RM1.68 daripada RM4.98 dengan unjuran pendapatan dikurangkan sebanyak 29% bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) manakala 36% bagi FY24 bagi mencerminkan kadar penggunaan yang lebih rendah.

 

 

Kossan

 

 

Harga sasaran Kossan pula disemak turun kepada 86 sen daripada RM2.05 dengan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23 masing-masing sebanyak 29% dan 24%.

 

Sejajar dengan semakan semula harga sasaran kepada 50 sen daripada 75 sen, unjuran pendapatannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23) dikurangkan sebanyak 28% manakala 20% bagi FY24. 

 

Sementara itu, Top Glove pula menyaksikan harga sasarannya dikurangkan kepada 49 sen daripada 60 sen dengan unjuran pendapatannya dikekalkan. - DagangNews.com