RHB Research unjur peningkatan penggunaan tenaga hijau pacu pertumbuhan Samaiden, Solarvest | DagangNews Skip to main content

RHB Research unjur peningkatan penggunaan tenaga hijau pacu pertumbuhan Samaiden, Solarvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - RHB Research menjangkakan peningkatan momentum alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan penggunaan tenaga hijau akan terus memacu prospek pertumbuhan Samaiden Group Berhad dan Solarvest Holdings Berhad.

 

Kedua-dua kumpulan itu merupakan dua daripada empat pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan solar (EPCC).

 

Dengan permintaan yang semakin meningkat, firma penyelidikan itu melihat pemangkin selanjutnya berpunca daripada kenaikan tarif baru-baru ini dan tekanan kos yang berkurangan daripada harga panel dan kos bahan.

 

"Pendapatan juga dijangka meningkat kepada paras tertinggi baharu, disokong oleh tempahan projek yang kukuh dan sumbangan daripada loji tenaga hijau sendiri," katanya dalam satu not akajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pelaksanaan Pasaran Karbon Sukarela (VCM) akan memacu syarikat untuk terlibat dalam projek penyahkarbonan dan pelaburan hijau seperti penggunaan solar, yang memanfaatkan kedua-dua syarikat itu.

 

“Bagi mencapai sasaran pelepasan gas rumah hijau (GHG) sifar bersih Malaysia menjelang 2050, Bursa Malaysia melancarkan Bursa Carbon Exchange (BCX) pada akhir tahun lalu.

 

"Bursa akan memudahkan syarikat dalam perdagangan kredit karbon sukarela.

 

"Satu lelongan, yang dijadualkan pada Mac 2023, akan dijalankan untuk dagangan pertama bagi membantu penemuan harga bagi produk kredit karbon piawai baharu yang disenaraikan di BCX," katanya.

 

Firma itu berkata, permohonan Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) dibuka pada 7 November 2022, dan ditutup pada 6 Februari 2023, memperkenalkan kuota 600 megawatt (MW).

 

“Dengan mengandaikan nilai kontrak RM2.3 juta setiap MW, nilai keseluruhan projek solar di bawah CGPP ialah RM1.4 bilion, yang akan membantu menambah tempahan bagi kedua-dua syarikat.

 

"Walaupun kontrak dijangka diumumkan dalam tempoh tiga bulan dari tarikh tutup, kami menjangkakan pelancaran kontrak pada separuh kedua 2023 (2HFY23)," katanya.

 

Firma itu menyemak naik penarafan sektor tenaga solar kepada 'overweight'. - DagangNews.com