Rimbunan Sawit cadang lupus ladang kelapa sawit seluas 9,935 hektar berharga RM165 juta di Miri | DagangNews Skip to main content

Rimbunan Sawit cadang lupus ladang kelapa sawit seluas 9,935 hektar berharga RM165 juta di Miri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - Rimbunan Sawit Berhad bercadang untuk melupuskan ladang kelapa sawit seluas 9,935 hektar di Miri berharga RM165 juta bagi melunaskan bayaran hutangnya.

 

Kumpulan itu menjual Ladang Selangor (dengan keluasan keseluruhan 4,857 hektar) berharga RM90 juta dan Ladang Jayamax (merangkumi keluasa 5,078 hektar) berharga RM75 juta, kepada Mahawangsa Sungai Bok Plantation Sdn. Bhd.

 

Katanya, hasil jualan akan digunakan untuk bayaran balik sebahagian daripada pinjaman berfaedahnya yang antara lain bakal mengurangkan tahap penggearan kumpulan daripada 0.99 kali kepada 0.61 kali.

 

Ia juga akan meningkatkan keupayaan kumpulan untuk melakukan pinjaman sekiranya wujud peluang perniagaan baharu selain menambah baik kedudukan aliran tunai kumpulan berikutan perbelanjaan faedah lebih rendah.

 

"Selain itu, sebahagian daripada hasil pelupusan akan disalurkan kepada operasi perniagaan kumpulan kerana ia akan digunakan bagi penanaman baharu dan penanaman semula kelapa sawit,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Kumpulan itu dijangka mencatat keuntungan proforma sebanyak RM77.94 juta daripada pelupusan kedua-dua ladang itu.

 

Termasuk dua ladang itu, Rimbunan Sawit mempunyai 16 ladang kelapa sawit di Kuching, Sibu dan Miri, dengan jumlah keluasan tanaman seluas 42,478 hektar, mewakili 60.76% daripada jumlah simpanan tanah kumpulan seluas 69,909 hektar. 

 

Kumpulan itu juga memiliki tiga kilang kelapa sawit di Kuching dan Miri. - DagangNews.com