Ringgit cecah paras terendah RM4.611 berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit cecah paras terendah RM4.611 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 27 Sept – Ringgit meneruskan aliran menurun dalam dagangan petang ini dengan berakhir pada RM4.6110 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), lebih rendah daripada penutupan petang semalam pada RM4.6030.

 

Dalam dagangan pagi tadi, mata wang tempatan itu dibuka pada RM4.6045, yang secara teknikalnya sedang menghampiri paras terendah 1998.

 

Menurut Reuters, dolar AS sudah mengukuh kira-kira 20% tahun ini, berikutan kadar faedah yang lebih tinggi, dan kenaikan yang tidak berhenti telah membebani mata wang sedang pesat membangun di rantau ini, dengan kebanyakannya mengalami kerugian besar tahun ini.

 

Bank Dunia menyifatkan tiada penyelesaian yang cepat dan mudah untuk mengatasi kelemahan ringgit berbanding dolar AS yang semakin kukuh kerana sebahagian besar peniaga Malaysia diinvois dalam dolar AS.

 

Ketua Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata, satu-satunya perkara yang Malaysia boleh lakukan sekarang ialah memberi fokus mengenai isu asas ekonomi, termasuk pembaharuan struktur yang diperlukan oleh negara.

 

Malah, katanya, pada kadar pertukaran semasa ringgit melebihi RM4.60 berbanding dolar AS yang semakin kukuh berikutan jangkaan kenaikan kadar AS untuk menghambat inflasi, nilai ringgit yang menyusut membimbangkan kerana kebanyakan dagangan Malaysia didenominasikan dalam dolar AS.

 

Jumaat lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, pergerakan ringgit akan terus ditentukan oleh pasaran. 

 

Bank pusat itu sebaliknya akan terus memantau dengan rapi dan memastikan pasaran kewangan terus teratur dalam keadaan perkembangan luaran yang telah menyebabkan dolar AS terus kukuh berbanding dengan hampir semua mata wang, termasuk ringgit. 

 

Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan kerajaan kemungkinan akan mengambil langkah khusus dalam Bajet 2023 bagi menangani kelemahan ringgit yang setakat ini sudah mencecah RM4.60 berbanding dolar AS. -DagangNews.com