Ringgit dibuka lesu pagi ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka lesu pagi ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Mac - Ringgit diniagakan tidak berubah pagi ini pada RM4.1120/1150 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), daripada penutupan semalam pada RM4.1120/1160.

 

Menurut HLIB Research, dolar AS akan kekal disokong sentimen risiko memandangkan satu lagi potensi penjualan dalam perbendaharaan AS dijangka berlaku. 

 

Dalam masa sama, kemunculan gelombang baharu COVID-19 di Eropah turut menjadi antara faktor yang mempengaruhi dagangan. 

 

"Untuk itu, kami mengekalkan pandangan neutral bagi dolar AS/ringgit dengan julat dagangan antara RM4.10 hingga RM4.14. 

 

"Meskipun penurunan dalam hasil AS boleh membantu, tetapi kenaikan semula boleh mencetuskan kekuatan dolar AS," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Semalam, ringgit mengakhiri prestasi tinggi selama dua hari berturut-turut minggu lepas untuk ditutup rendah berbanding dolar AS susulan mata wang negara maju itu telah mengekang minat risiko terhadap mata wang negara pesat membangun. 

 

Permintaan terhadap dolar AS disokong oleh kenaikan pulangan ke atas bon AS dan penurunan harga minyak mentah selain ketegangan China-AS yang meningkat terus mempengaruhi sentimen di pasaran tempatan. 

 

Sementara itu, lapor Bloomberg, harga minyak diniagakan rendah dalam dagangan Asia ekoran kebimbangan terhadap permintaan pasaran bagi tempoh terdekat di tengah-tengah pemulihan yang tidak menentua daripada pandemik COVID-19.

 

West Texas Intermediate bagi pengantaran Mei jatuh 39 sen kepada AS$61.17 setong di New York Mercantile Exchange pada 8.08 pagi waktu Singapura selepas meningkat 0.2% pada Isnin. 

 

Minyak Brent bagi penempatan Mei turut susut 0.7% kepada AS$64.20 setong di ICE Futures Europe Exchange selepas menokok 9 sen sesi sebelum itu. - DagangNews.com