Ringgit dibuka mendatar, kurang pemangkin | DagangNews Skip to main content

Ringgit dibuka mendatar, kurang pemangkin

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Ringgit dibuka pagi ini tidak berubah pada RM4.0400/0440 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Menurut HLIB Research, ringgit dijangka terus kekal neutral berbanding dolar AS dalam dagangan hari ini. 

 

Katanya, dolar AS bagaimanapun diunjur sedikit lemah. 

 

"Kami menjangkakan ringgit akan berlegar antara RM4.025 hingga RM4.06 memandangkan kurang pemangkin di peringkat domestik," katanya dalam nota kajian. 

 

Semalam, ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS berikutan sentimen yang lebih baik terhadap unit tempatan susulan Malaysia memulakan langkah di seluruh negara untuk menyediakan imunisasi COVID-19.

 

Ringgit naik kepada RM4.0400/0450 lebih tinggi daripada penutupan Selasa, RM4.0420/0450.

 

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes dalam laporan Bernama berkata, sentimen positif itu turut disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi dengan penanda aras minyak mentah Brent kini diniagakan pada AS$65 setong. - DagangNews.com