Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 18 Dis. - Ringgit pagi ini dibuka rendah pada RM4.0350/0400 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Mata wang tempatan itu semalam ditutup tinggi pada RM4.0320/0370.
AmBank Research menjangkakan ringgit hari ini diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0152 dan RM4.0266 manakala paras rintangan antara RM4.0472 dan RM4.0600.
"Semalam, ringgit mengukuh untuk hari ketiga, menokok 0.41% berbanding dolar AS, paras tertinggi sejak Julai 2018.
"Indeks utama FBM KLCI pula susut 0.42% kepada 1,674.4 mata selepas dua hari merekodkan keuntungan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, dolar AS jatuh di bawah paras 90 mata untuk kali pertama dalam tempoh 2 tahun setengah, susut 0.69% kepada 89.82.
"Jualan besar-besaran itu didorong oleh permintaan tinggi terhadap aset-aset berisiko susulan perkembangan dalam rundingan fiskal dan Brexit," katanya.
Harga minyak Brent pula meningkat 0.82% kepada AS$51.50 setong manakala West Texas Intermediate (WTI) menokok 1.13% kepada AS$48.36 setong, mencecah paras tertinggi 9 bulan.
Keyakinan terhadap perkembangan rangsangan fiskal AS dan permintaan minyak mentah yang meningkat dari pasaran Asia telah menyokong kenaikan harga minyak global. - DagangNews.com