KUALA LUMPUR 6 Jan. - Ringgit dibuka tinggi dalam dagangan pagi ini pada RM4.0080/0130 berbanding dolar AS.
Mata wang itu semalam ditutup pada RM4.0140/0200 ekoran kebimbangan terhadap sekatan perjalanan dan pelancaran vaksin COVID-19 yang lebih perlahan telah mempengaruhi mata wang tempatan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid dalam laporan Bernama berkata,
jangkaan terhadap pemulihan ekonomi kekal tidak kukuh memandangkan pandemik ini akan terus mempunyai impak yang ketara terhadap aktiviti ekonomi.
Sementara itu, AmBank Research dalam nota kajian hari ini berkata, ringgit susut 0.27% semalam selepas diniagakan antara RM4.017 dan RM4.004 berbanding dolar AS.
Bagi pasaran tempatan pula, ia menokok 0.36% kepada 1,608.4 mata, menjejaki pasaran serantau yang lain.
"Dalam dagangan hari ini, kami menjangkakan ringgit akan diniagakan pada paras sokongan antara RM3.9967 dan RM4.0038 manakala paras rintangan antara RM4.0210 dan RM4.0306," katanya.
Dolar AS, katanya, susut 0.48% kepada 89.436, masih berlegar pada paras terendah sejak 2018 ekoran ketidaktentuan yang masih membelenggu pilihan raya senat Georgia. - DagangNews.com