Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Ringgit memulakan dagangan pagi ini mengukuh kepada RM4.1380/1430 berbanding dolar AS.
Semalam mata wang ini ditutup pada RM4.1480/1530 berbanding dolar AS.
AmBank Research menjangkakan ringgit akan berlegar pada paras sokongan antara RM4.1347 dan RM4.1407 manakala paras rintangan antara RM4.1518 dan RM4.1572.
"Ringgit (semalam) naik 0.41% kepada RM4.1480, tertinggi sejak 22 Oktober menjelang pembentangan Belanjawan 2021 (petang ini).
"Indeks FBM KLCI pula menokok 2.52% kepada 1,501.5 mata, tertinggi dalam tempoh 3 minggu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, dolar AS menyusut 0.88% kepada 92.583, paling rendah minggu ini ekoran ketidaktentuan dalam keputusan pilihan raya presiden AS.
Dalam masa sama, katanya Rizab Persekutuan AS mengekalkan kadar faedah pada 0.00 hingga 0.25% dan tidak membuat sebarang perubahan dasar utama.
"Ini mengubah pernyataan dasar yang menggambarkan tahap pemulihan AS yang perlahan ketika ini, belum kembali ke tahap prapandemik," katanya.
Harga minyak pula tersentak selepas mengalami kenaikan 3 hari apabila Brent susut 1.29% kepada AS$40.70 setong manakala West Texas Intermediate turun 0.92% kepada AS$38.79 setong.
"Keadaan ini dipengaruhi oleh kenaikan kes jangkitan COVID-19 di seluruh dunia dan hasil keputusan pilihan raya AS yang masih belum jelas," katanya. - DagangNews.com