Ringgit dijangka jadi mata wang terbaik di rantau ini pada 2024, mengukuh ke paras RM4.40 – Affin Hwang | DagangNews Skip to main content

Ringgit dijangka jadi mata wang terbaik di rantau ini pada 2024, mengukuh ke paras RM4.40 – Affin Hwang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jan - Ringgit dijangka muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di rantau ini dengan diunjurkan kukuh ke paras antara RM4.30 dan RM4.40 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini berbanding RM4.68 pada akhir 2023.

 

Ketua Penyelidikan Affin Hwang Investment Bank Bhd, Loong Chee Wei berkata ringgit menjadi positif pada 2023 selepas merosot pada tahun lepas.

 

Beliau berkata FBM KLCI dijangka meningkat apabila ringgit mengukuh dan ditutup pada 1,600 pada akhir 2024 berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) 15.6 kali.

 

Menurut beliau, jangkaan tersebut adalah berdasarkan prospek pembangunan luaran yang kurang menekan, terutamanya daripada kesan pengetatan dasar monetari. 

 

Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Investment Bank, Alan Tan Chew Leong menambah bahawa dengan jangkaan pemotongan kadar faedah dalam kadar dana persekutuan (FFR) AS dan defisit kadar faedah yang lebih kecil, ringgit dijangka pulih pada 2024.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Affin Hwang Investment Bank, Nurjesmi Mohd Nashir; Presiden dan CEO Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali; Alan Tan Chew Leong dan Loong Chee Wei ketika sesi soal jawab bersama media pada pembentangan Prospek Makro dan Pasaran 2024 hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Affin Hwang Investment Bank, Nurjesmi Mohd Nashir; Presiden dan CEO Affin Bank Bhd, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali; Alan Tan Chew Leong dan Loong Chee Wei ketika sesi soal jawab bersama media pada pembentangan Prospek Makro dan Pasaran 2024 hari ini.

 

“Jika melihat unjuran FFR AS terutamanya menjelang 2024, saya menjangkakan pemotongan kadar pertama akan berlaku pada September dan ini akan diturunkan kepada 4.5%. Terdapat beberapa ahli ekonomi AS menjangkakan pemotongan kadar lebih agresif bermula Jun dan seterusnya.

 

“Jika ia berlaku, Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada bulan ini dan mungkin tidak berubah sepanjang 2024,” ujar beliau ketika membentangkan Prospek Makro dan Pasaran 2024 di Menara Affin hari ini.

 

Apabila menghampiri pertengahan 2024, mereka berkata kemungkinan permulaan kitaran dasar monetari global yang semakin mereda, serta peningkatan dalam momentum pertumbuhan ekonomi global akan menyaksikan ekonomi di rantau ini berkembang lebih kukuh.

 

Ini disokong oleh pemulihan perdagangan global,terutamanya dalam produk elektrik dan elektronik (E&E), serta peningkatan aktiviti pelaburan perniagaan dalam separuh kedua 2024 (2H24).

 

Loong berkata ringgit juga akan mengukuh tahun ini disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang membanggakan di negara ini, di mana eksport disokong oleh pasaran eksport yang pelbagai.

 

Beliau menambah bahawa ringgit akan pulih untuk mencerminkan asas ekonomi Malaysia, seperti pertumbuhan ekonomi yang stabil, pengekalan lebihan akaun semasa (kedudukan luar berdaya tahan), inflasi yang rendah, serta disiplin fiskal teguh kerajaan bagi mengukuhkan kedudukan defisit fiskalnya.

 

“Memandangkan kenaikan ringgit akan ditentukan pasaran, jangkaan untuk meningkatkan sentimen pelabur terhadap asas ekonomi negara akan menyokong ringgit, dengan kemungkinan penilaian yang menggalakkan oleh agensi  penarafan terhadap tinjauan penarafan,” tambahnya.  - DagangNews.com