Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar AS walaupun telah melepasi paras 24 tahun terendah | DagangNews Skip to main content

Ringgit dijangka terus lemah berbanding dolar AS walaupun telah melepasi paras 24 tahun terendah

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 15 Sept - Ringgit dijangka akan terus melemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), meskipun kini matawang tempatan tersebut telah merosot kepada paras terendah baru dalam tempoh 24 tahun dan diniagakan pada paras RM4.52 berbanding AS$1.

 

Ketua penyelidikan dan penasihat kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata kejatuhan mendadak ringgit merupakan reaksi pasaran selepas data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan akan menjurus kepada  kenaikan kadar faedah yang lebih tinggi oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

 

"Pada pendapat saya, Fed akan menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas minggu hadapan, akibatnya, ringgit akan lemah apabila dolar AS mengukuh dan ringgit mungkin berada pada AS$/RM 4.55 suku ini dan 4.58 pada suku keempat tahun ini.


 

Mohd Sedek Jantan
    Mohd Sedek Jantan

 


"Walaupun menaikkan kadar faedah mungkin merupakan langkah popular oleh bank pusat, meningkatkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) mungkin kurang memberi kesan kepada masyarakat, terutamanya B40. Keperluan rizab boleh digunakan untuk menggalakkan kestabilan harga dan kewangan.

 

"Untuk rekod, Bank Indonesia telah menaikkan keperluan rizab SRR rupiah bagi bank komersial dan syariah konvensional," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Mohd Sedek menjelaskan bahawa peningkatan dalam SRR menghadkan keupayaan bank untuk membuat pinjaman.

 

Terdahulu, Jabatan Buruh AS melaporkan bahawa inflasi pengguna negara pada Ogos melonjak 8.3 peratus berbanding setahun lalu dan berikutan ini, ia mematikan sebarang kebarangkalian bahawa AS akan menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas.

 

"Situasi di AS tidak terlalu buruk sehingga memerlukan Fed menaikkan mata asas sebanyak 100 mata, tetapi yang pastinya ia melebih 50 mata, oleh itu kita menjangkakan Fed akan menaikkan mata asas sebanyak 75 mata," jelas beliau lagi.


 

BNM

 


Minggu lalu Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

 

Ia merupakan kenaikan kali ketiga berturut-turut tahun ini untuk kadar penanda aras pinjaman dan simpanan sejak Mei dan Julai lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

 

Susulan peningkatan itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus. - DagangNews.com