Ringgit diunjur berlegar pada RM3.95 akhir 2021 - Kenanga | DagangNews Skip to main content

Ringgit diunjur berlegar pada RM3.95 akhir 2021 - Kenanga

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 1 April - Pergerakan ringgit dalam tempoh terdekat akan terus dipacu oleh ketidaktentuan dalam persekitaran pandemik dan prospek ekonomi, menurut Kenanga Research dalam nota kajian hari ini.

 

Di sebalik situasi pandemik yang bertambah baik dan harga minyak mentah berlegar pada purata AS$61.3 setong, ringgit bagaimanapun dijangka kekal berada di bawah tekanan. 

 

Prestasi ringgit pada masa akan datang mencerminkan asas ekonomi Malaysia memandangkan ekonomi global kembali pulih semula.

 

Jelasnya lagi, berikutan ketidaktentuan secara berlebihan dalam pasaran kewangan, Bank Negara Malaysia tetap peka dalam menguruskan risiko menerusi campur tangan pertukaran asing dua hala. 

 

Dalam hal ini, fleksibiliti kadar tukaran asing akan berperanan sebagai penampan kepada ekonomi domestik dalam menghadapi sebarang kejutan luaran.

 

"Oleh itu, ringgit diunjur berlegar pada julat antara RM4.10 hingga RM4.20 dalam tempoh terdekat di tengah-tengah lonjakan hasil bon global," katanya. 

 

Namun, prospek ekonomi yang positif, program imunisasi COVID-19 dan langkah fiskal berterusan yang dilaksanakan Malaysia akan terus menggalakkan pertumbuhan. 

 

"Ini akan menyaksikan ringgit berlegar lebih tinggi berbanding dolar AS, justeru, kami mengekalkan unjuran akhir tahun ini pada RM3.95 berbanding dolar AS," jelas firma itu. 

 

Semalam, BNM mengumumkan liberalisasi selanjutnya dasar pertukaran asing (FEP) yang memberi lebih fleksibiliti kepada sektor perniagaan. 

 

Menurut bank pusat, langkah ini merupakan usaha berterusan BNM untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan memupuk persekitaran yang kondusif bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.

 

Proses liberalisasi secara berperingkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini adalah selaras dengan kedudukan luaran Malaysia yang lebih kukuh dan pasaran kewangan yang lebih berdaya tahan. 

 

BNM turut mengunjurkan ekonomi negara akan berkembang pada kadar 6 hingga 7.5% tahun ini disokong permintaan luar yang kukuh dan perbelanjaan awam serta swasta yang tinggi. - DagangNews.com