Ringgit diunjur RM4.10 akhir tahun ini - MIDF  | DagangNews Skip to main content

Ringgit diunjur RM4.10 akhir tahun ini - MIDF 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Ringgit yang meraih keuntungan daripada peningkatan aliran masuk dalam pasaran baharu muncul di rantau ini, akan mengukuhkan mata wang itu yang dijangka mencecah RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini.

Menurut MIDF Research, pelabur juga khususnya meningkatkan pegangan hutang sekuriti Malaysia tetapi pada masa sama tetap berhati-hati terhadap sekuriti ekuiti.

Pada suku ketiga, ringgit mengukuh 2.9% berbanding 1.1% pada suku kedua 2020. Ini menyaksikan ringgit mengakhiri suku ketiga pada RM4.171, berbanding RM4.291 pada suku kedua. 

"Kami menjangkakan ringgit akan mencecah RM4.10 berbanding dolar AS pada akhir tahun ini, berbanding RM4.09 pada tahun lalu. 

"Unjuran ini dibuat memandangkan mata wang tempatan telah pun melepasi unjuran kami sebelum ini pada RM4.20 berbanding dolar AS. 

"Malah, kami juga mengunjurkan kadar tukaran ringgit pada purata RM4.20 (berbanding RM4.14 pada 2019)," katanya dalam nota kajian. 

Jumaat lalu, dalam pembentangan ekonomi suku ketiga 2020, ringgit menambah nilai sebanyak 2.9% berbanding dolar AS, susulan aliran masuk portfolio bukan pemastautin yang berterusan.

Aliran masuk ini didorong oleh sentimen pelabur yang positif berikutan terdapatnya tanda-tanda pemulihan dalam kegiatan ekonomi global apabila negara-negara melonggarkan sekatan pergerakan dan mula membuka semula ekonomi mereka secara beransur-ansur. 

Peningkatan kesanggupan para pelabur mengambil risiko turut disokong oleh perubahan rangka kerja dasar monetari Rizab Persekutuan AS, yang menandakan bahawa dasar monetari AS akan kekal akomodatif untuk jangka masa yang lebih panjang.

Menurut BNM, meskipun kes COVID-19 menular semula dalam beberapa ekonomi maju dan ekonomi sedang pesat membangun selepas tempoh suku ketiga, sentimen pelabur terus disokong oleh pemulihan ekonomi China yang stabil dan pertumbuhan global yang diunjur meningkat pada 2020 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). 

Hasilnya, Malaysia mencatatkan aliran masuk portfolio bukan pemastautin dan ringgit menambah nilai sebanyak 0.6% berbanding dolar AS sejak akhir September 2020 (setakat 12 November). 

Bagaimanapun, MIDF Research berkata, walaupun ringgit diunjur akan terus mengukuh, peningkatan semula kes COVID-19 di Malaysia dan negara-negara lain akan memberi kesan kepada pemulihan ekonomi. 

"Keadaan ini akan menyebabkan pelabur mungkin menyemak semula keputusan pelaburan mereka dan ekonomi akan kembali lemah," katanya. 

Namun, jelasnya, dengan unjuran pertumbuhan ekonomi dan permintaan global akan kembali mencatat pemulihan pada tahun hadapan, pelabur dijangka memilih aset yang mampu memberi hasil tinggi yang ditawarkan pasaran baru muncul berbanding minat yang rendah di pasaran maju. - DagangNews.com