Ringgit kembali mengukuh berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit kembali mengukuh berbanding dolar AS

 

 

KUALA LUMPUR 9 April - Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.1300/1350 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

HLIB Research dalam nota kajiannya mengekalkan pandangan neutral kepada mengukuh bagi dagangan ringgit hari ini ekoran kelemahan dolar AS. 

 

Katanya pergerakan ringgit yang mungkin kembali dalam julat RM4.12 hingga RM4.13 adalah terhad memandangkan pelabur lebih berhati-hati sebelum hujung minggu. 

 

"Hasil perbendaharaan AS susut 0.4 hingga 7.2 mata asas sepanjang lekukan apabila Rizab Persekutuan AS terus menurunkan risiko inflasi. 

 

"Sementara itu, sebahagian besar reaksi pasaran juga menjangkakan kenaikan kali pertama tuntutan pengangguran. Hasil bagi perbendaharaan AS 10 tahun jatuh hampir 6 mata asas kepada 1.62%," katanya. 

 

Menurut firma itu, harga minyak pula mengukuh daripada kenaikan baru-baru ini dengan Brent meningkat dalam kadar yang kecil kepada AS$63.20 setong manakala West Texas Intermediate susut 0.3% kepada AS$59.60 setong. 

 

Dalam penutupan semalam, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS apabila mata wang tempatan itu menerima tekanan daripada kebimbangan terhadap harga dan permintaan minyak mentah.

 

Ringgit ditutup pada RM4.1360/1390 daripada RM4.1300/1330 pada Rabu. - DagangNews.com