Ringgit kembali mengukuh pagi ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit kembali mengukuh pagi ini

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Dis. - Ringgit dibuka tinggi pada RM4.0690/0740 berbanding dolar AS dalam dagangan pagi ini. 

 

Semalam mata wang itu, ditutup pada 4.0700/0740 susulan keputusan Fitch Ratings menurunkan penarafan kredit negara Malaysia kepada BBB+ daripada A- sebelumnya. 

 

Menurut HLIB Research, walaupun mata wang itu diniagakan pada RM4.0885 berbanding dolar AS tetapi ia kemudiannya mencecah paras RM4.07 hampir sebahagian hari dagangan di sebalik kelemahan dolar. 

 

"Kami mengekalkan pandangan neutral kepada lemah apabila tempias laporan Fitch itu semakin berkurangan. Kami juga mengekalkan unjuran akhir tahun pada RM4.08 berbanding dolar AS," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Jelas firma itu, rizab asing yang semakin meningkat di Malaysia akan terus menjadi menampan mencukupi dalam menghadapi sebarang kejutan. 

 

Dalam laporan Bernama semalam, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, berita mengenai penarafan itu membayangkan bahawa ringgit bakal diniagakan tidak menentu pada minggu ini.

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0507 dan RM4.0570 manakala paras rintangan antara RM4.0865 dan RM4.0983. 

 

"Dolar AS pula kembali meningkat selepas 4 hari mengalami kerugian, naik 0.10% kepada 90.792 apabila pelabur mula melihat kepada peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan memberi tumpuan kepada pakej rangsangan serta vaksin bagi memerangi wabak itu," katanya. - DagangNews.com