KUALA LUMPUR 16 April - Ringgit dibuka rendah pagi ini pada RM4.1280/1330 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
HLIB Research menjangkakan dagangan dolar AS/ringgit hari ini adalah neutral kepada melemah ekoran prestasi dolar AS yang bercampur-campur.
Bagaimanapun, katanya, ringgit mungkin boleh melepasi paras sokongan RM4.12 ketika dolar AS semakin lemah.
"Dolar AS masih berlegar-legar pada paras sebelumnya (terendah dalam tempoh 4 minggu) pada Khamis, pulih selepas beberapa kerugian dalam sehari.
"Namun, sentimen berhati-hati menuju hujung minggu akan mengehadkan dagangan pada julat antara RM4.11 hingga RM4.13," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, ringgit ditutup pada RM4.1230/1260 berbanding dolar AS, lebih tinggi daripada RM4.1270/1300 semasa ditutup pada Rabu berikutan permintaan baharu dan sejajar dengan harga minyak mentah yang kukuh.
Menurut HLIB Research, harga minyak mentah terus mempamerkan peningkatan dengan menokok 5% sekali gus menyaksikan Brent berakhir pada AS$66.94 setong. - DagangNews.com