Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Nov. - Ringgit memulakan dagangan pagi dengan lebih tinggi didorong beberapa perkembangan positif di dalam negara dan juga harga minyak global.
Mata wang tempatan itu diniagakan pada RM4.0630/0680 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini.
Pada Jumaat, ringgit ditutup RM4.0670/0710 selepas kelulusan Belanjawan 2021 masih memberi sokongan kepada mata wang itu di samping prestasi dagangan pada Oktober.
Eksport Malaysia meningkat 0.2% kepada RM91.05 bilion pada bulan tersebut menjadikan lebihan dagangan Malaysia bulan lalu meningkat kepada RM22.12 bilion, mencatatkan pertumbuhan dua angka 25.9% tahun ke tahun.
Ia merupakan lebihan dagangan yang tertinggi pernah direkodkan bagi bulan Oktober.
AmBank Research berkata, lebihan dagangan itu telah menyokong kenaikan ringgit tetapi ketidaktentuan masih kekal ada.
Katanya, prestasi dagangan yang lebih baik itu dapat menyokong ekonomi domestik di sebalik pakej rangsangan RM305 bilion dan juga perintah sekatan yang dilongarkan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
"Pada lebihan dagangan terkumpul RM147 bilion, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan ketegangan dalam isu politik di peringkat domestik.
"Dalam masa sama, rizab luar juga kekal sihat pada AS$104.9 bilion atau mampu menampung 8.6 bulan import," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurutnya, ini akan memberi rangsangan yang baik kepada ringgit untuk berlegar antara RM4.07 hingga RM4.10 berbanding dolar AS sehingga akhir tahun ini.
Firma penyelidikan itu menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0515 dan RM4.0583 dan paras rintangan antara RM4.0779 dan RM4.0844.
"Tahun ini dijangka menguncup antara 2.5 hingga 3% berbanding -0.8% pada tahun lalu," katanya.
Bagi dolar AS, katanya, menyusut 0.22% kepada 91.790, paras terendah sejak April 2018 berikutan risiko sentimen positif di tengah-tengah cuti Hari Kesyukuran.
"Pasaran minyak menyaksikan Brent mengukuh 0.79% kepada AS$48.18 setong manakala West Texas Intermediate jatuh 0.39% kepada AS$45.53 setong menjelang mesyuarat pengeluar minyak bersekutu Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) minggu ini," katanya. - DagangNews.com