Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 25 Jan. - Ringgit terus menyusut dalam dagangan pagi ini dibuka pada RM4.0440/0500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada Jumaat, mata wang itu ditutup pada RM4.0415/0445 mengakhiri kenaikan 3 hari berturut-turut.
MIDF Research dalam laporan aliran kewangan mingguan menunjukkan ringgit terus menurun apabila kebimbangan terhadap pandemik COVID-19 semakin meningkat.
"Pada minggu lalu, ringgit susut 0.2% untuk ditutup kepada RM4.043 berbanding dolar AS (daripada RM4.037 minggu sebelumnya apabila ekonomi berdepan cabaran akibat PKP 2.0.
"Selain itu, laporan mengenai peningkatan kes COVID-19 di China juga meningkatkan kebimbangan terhadap prospek ekonomi," katanya dalam laporan berkenaan.
Semalam, penganalisis Pasaran FXTM, Han Tan berkata, minggu akan datang dijangka berlaku peristiwa besar yang boleh mengubah sentimen risiko global, daripada musim menjana pendapatan AS sehingga data ekonomi dari AS dan China, serta keputusan kadar Rizab Persekutuan AS.
Di pasaran tempatan, prestasi perdagangan luaran Malaysia pada Disember akan diumumkan pada Jumaat ini dengan pasaran menjangkakan eksport akan mencatat pertumbuhan tahun ke tahun untuk bulan keempat berturut-turut walaupun import mungkin mencatatkan penguncupan tahun ke tahun sejak Mei kerana keadaan ekonomi domestik yang lembap.
Sementara itu, dalam nota kajian, AmBank Research menjangkakan ringgit akan diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0282 dan RM4.0363 manakala paras rintangan antara RM4.0504 dan RM4.0567. - DagangNews.com