Ringgit masih teruskan aliran menurun | DagangNews Skip to main content

Ringgit masih teruskan aliran menurun

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 April - Ringgit memulakan dagangan rendah pagi ini pada RM4.1270/1320 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

HLIB Research mengekalkan jangkaan dagangan dolar AS/ringgit adalah neutral kepada melemah di sebalik penyusutan berterusan mata wang utama itu. 

 

"Kami masih melihat pergerakan menurun bagi dolar AS dengan hasil perbendaharaan masih menjadi faktor utama.

 

"Oleh itu, kami melihat ringgit akan diniagakan dalam julat antara RM4.1150 hingga RM4.1350 berbanding dolar AS sepanjang minggu ini," katanya dalam nota kajian.

 

Pada Jumaat, ringgit berakhir rendah pada RM4.1250/1290 daripada penutupan Khamis, RM4.1230/1260 dipengaruhi kebimbangan jangkitan kes COVID-19 di negara ini mencecah 2,551 kes yang dilihat boleh mengehadkan proses pemulihan ekonomi.

 

Sementara itu, dalam aliran dana mingguan kewangan, MIDF Research berkata, ringgit mengukuh 0.2% kepada RM4.1260 berbanding dolar AS bagi minggu berakhir 16 April, daripada RM4.140 minggu sebelumnya. 

 

"Ringgit dan mata wang serantau juga mengukuh berikutan kelemahan dolar AS pada minggu lalu. 

 

"Dalam masa sama, pengukuhan ringgit juga sejajar dengan kenaikan harga minyak apabila mengakhiri dagangan minggu lalu 6.1% lebih tinggi kepada AS$66.77 setong (berbanding minggu sebelumnya, AS$62.95 setong)," katanya. - DagangNews.com