KUALA LUMPUR 5 April - Ringgit dibuka tidak berubah pagi ini pada RM4.1380/1430 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pada Jumaat, mata wang tempatan ditutup kukuh pada RM4.1380/1420 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis, RM4.1440/1470 berikutan kenaikan harga minyak mentah.
HLIB Research menjangkakan ringgit diniagakan neutral memandangkan prospek dolar AS yang semakin mengukuh, mungkin akan berubah lebih rendah.
Katanya, hasil perbendaharaan AS jangka panjang yang tinggi akan terus menyokong dolar AS.
"Ringgit mungkin berlegar dalam julat antara RM4.13 hingga RM4.17 dalam minggu ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurutnya, penanda aras minyak jatuh 0.2% pagi ini dengan Brent diniagakan pada AS$64.73 setong.
Minggu lalu, OPEC+ membuat keputusan untuk meningkatkan pengeluaran secara berperingkat beberapa bulan akan datang, menjangkakan pemulihan bagi permintaan global untuk minyak mentah.
Sementara itu, dalam laporan aliran kewangan mingguan, MIDF Research berkata, di sebalik pengukuhan dolar AS, ringgit mengukuh 0.2% dan ditutup pada RM4.140 bagi minggu berakhir 2 April, berbanding RM4.1470 minggu sebelumnya.
"Sentiman bagi mata wang tempatan meningkat apabila Malaysia mengekalkan keanggotan dalam FTSE World Government Bond Index (WGBI).
"Selain itu, harga minyak jugak membantu menyokong ringgit dengan Brent ditutup pada AS$64.86 setong minggu lalu berbanding AS$64.57 minggu sebelumnya," katanya. - DagangNews.com