Ringgit mengukuh berbanding dolar AS | DagangNews Skip to main content

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS

 

 

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Ringgit mengukuh dalam pembukaan pagi ini pada RM4.0410/0460 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

HLIB Research menjangkakan ringgit/dolar AS akan mengukuh berbanding neutral sebelum ini di sebalik kekuatan mata wang utama itu. 

 

"Ini juga didorong oleh faktor menjelangnya mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC)  walaupun ia dijangka tidak memberi keputusan mengejutkan," katanya dalam nota kajian.  

 

Semalam, ringgit ditutup rendah pada RM4.0430/0460 berbanding dolar AS daripada paras penutup RM4.0415/0445 pada Jumaat minggu lalu.

 

Ringgit berada di bawah tekanan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), harga minyak mentah rendah, peningkatan kes COVID-19 di seluruh dunia dan kelewatan bekalan vaksin.

 

Sementara itu, Ambank Research menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0175 dan RM4.0272 manakala paras rintangan antara RM4.0565 dan RM4.0665.

 

Harga minyak pada Isnin menokok 1% apabila meningkatnya keyakinan terhadap pelan rangsangan AS tetapi permintaan masih membimbangkan ekoran langkah-langkah sekatan bagi mengawal wabak mengehadkan kenaikan. 

 

Lapor Reuters, niaga hadapan Brent naik 47 sen atau 0.9% kepada AS$55.88 setong manakala West Texas Intermediate naik 50 sen atau 1% kepada AS$52.77 setong. - DagangNews.com