KUALA LUMPUR 24 Feb. - Ringgit mengukuh dalam dagangan pagi ini pada RM4.0390/0420 berbanding dolar AS ekoran kelemahan mata wang utama itu.
HLIB Research menjangkakan nilai dolar AS/ringgit adalah neutral dalam dagangan hari ini dengan mengambil kira prestasi bercampur-campur dolar AS yang lebih luas.
"Jadi, kami menjangkakan ringgit diniagakan dalam julat antara RM4.0250 hingga RM4.0600 minggu ini," katanya dalam nota kajian.
Menurut firma itu, hasil perbendaharaan menurun secara sederhana ekoran kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome H. Powell ketika menyampaikan ucapan dalam Jawatankuasa Perbankan Senat semalam.
Beliau dilaporkan berkata, pemulihan ekonomi kekal tidak sekata dan masih jauh dengan laluannya masih tidak menentu.
"Ini menyaksikan hasil perbendaharaan AS 10 tahun diniagakan 2.4 mata asas lebih rendah pada 1.342% manakala dolar AS pula diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama," katanya.
Semalam, ringgit terus susut berbanding dolar AS walaupun mata wang negara maju itu mengalami kelemahan.
Ringgit ditutup pada RM4.0420/0450 berbanding dolar AS daripada penutupan Isnin, RM4.0400/0450. - DagangNews.com