Ringgit mengukuh, menanti keputusan OPR petang ini | DagangNews Skip to main content

Ringgit mengukuh, menanti keputusan OPR petang ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Jan. - Menjelang mesyuarat dasar monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini, ringgit dibuka tinggi pada RM4.0460/0510 berbanding dolar AS. 

 

Semalam mata wang itu ditutup pada RM4.0480/0520, lebih tinggi daripada penutupan Isnin, pada RM4.0500/0540 didorong kenaikan harga minyak mentah dan kelemahan ketara dolar AS.

 

Hong Leong IB Research berkata, ringgit dijangka mengekalkan momentum pergerakan itu terutama menantikan keputusan mengenai OPR petang ini. 

 

Firma itu mengekalkan pandangan neutral kepada sedikit mengukuh bagi ringgit/dolar AS disokong oleh sentimen positif pakej rangsangan AS menjelangnya pelantikan Joe Biden sebagai presiden AS yang baru. 

 

"Bagaimanapun, fokus kini masih tertumpu kepada mesyuarat MPC BNM dan kami menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar itu pada 1.75%," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sepanjang tahun lalu, BNM telah mengurangkan 4 kali kadar faedah sebanyak 125 mata asas kepada paras terendah setakat ini, 1.75%. 

 

Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit hari ini diniagakan pada paras sokongan antara RM4.0197 dan RM4.0326 manakala paras rintangan antara RM4.0655 dan RM4.0767. 

 

Dolar AS, katanya menyusut 0.29% kepada 90.498 selepas 2 hari mencatat kenaikan dengan risiko kembali lebih positif. - DagangNews.com