Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Nilai ringgit menyusut sebanyak 0.20% kepada 4.197 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hingga pasaran ditutup petang semalam.
AmBank Research dalam nota kajiannya memberitahu, dolar AS mengukuh 0.16% kepada 93.582 selama seminggu didorong tumpuan pelabur terhadap pakej rangsangan AS serta mesyuarat US-China pada 15 Ogos ini.
"Dari segi data, jangkaan inflasi pengguna di AS pada Julai turut meningkat kepada 2.9% berbanding tahun lalu sebanyak 2.7% pada Jun," jelas AmBank Research hari ini.
Sementara itu, KLCI negara ditutup rendah sebanyak 0.41% kepada 1,571.7.
Bagaimanapun, ringgit masih mengukuh berbanding mata wang utama lain.
Ringgit mengukuh 0.41% kepada 4.937 berbanding Euro (EUR) dan lebih kukuh 0.10% kepada 5.485 berbanding Pound Sterling (GBP).
Namun, nilai ringgit jatuh 0.56% kepada 7.414 berbanding Bath Thailand (THB), 0.05% kepada 3.490 berbanding Rupiah Indonesia (IDR) dan 0.25% kepada 11.68 berbanding Peso Filipina (PHP).
AmBank Research hari ini turut menjangkakan ringgit didagangkan antara 4.1754 hingga 4.1829.
Dalam nota kajian sama, AmBank Research menyatakan jualan pengedaran pada Jun meneruskan peningkatan bagi bulan kedua berturut-turut iaitu sebanyak 21.8% berbanding bulan sebelumnya pada Mei sebanyak 26.3%.
Prestasi tersebut didorong oleh perbelanjaan pengguna yang terus meningkat ekoran pengoperasian semula perniagaan selepas kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - DagangNews.com