Ringgit semakin kukuh RM4.55 berbanding AS$1, cecah ke paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun | DagangNews Skip to main content

Ringgit semakin kukuh RM4.55 berbanding AS$1, cecah ke paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun

Ringgit mencecah paras RM4.545 semalam, tertinggi dalam tempoh hampir setahun. -Gambar hiasan Freepik

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Ringgit mengukuh kepada paras setahun tertinggi berbanding dolar AS di tengah-tengah jangkaan yang semakin meningkat mengenai Rizab Persekutuan AS (Fed) akan mengurangkan kadar faedah bulan depan.

 

Mata wang Malaysia meningkat hampir 1% semalam untuk mencecah RM4.545 setiap dolar AS, tertinggi dalam setahun, sebelum berlegar pada sekitar RM4.566 berbanding dolar AS.

 

Ini menandakan hari kesembilan berturut-turut kenaikan nilai ringgit, meletakkannya sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia tahun ini dengan keuntungan sebanyak 2.7% berbanding dolar AS.

 

Pada pagi ini, Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), meneruskan kenaikan selama 10 hari.

 

Pukul 8 pagi ini menunjukkan ringgit naik 30 mata asas kepada 4.5645/5725 berbanding dolar AS daripada 4.5675/5710 pada Khamis.

 

Sementara itu, Ketua penyelidikan pertukaran asing Maybank Investment Bank (Maybank IB) Saktiandi Supaat menunjukkan bahawa ringgit berkemungkinan mengejar kedudukannya yang tertinggal kerana penilaiannya yang rendah.

 

“Ringgit berkemungkinan sedang kejar kembali kerana ia merupakan salah satu mata wang paling berprestasi rendah baru-baru ini, dan ia telah dikurangkan nilainya sejak sekian lama,” Saktiandi dipetik sebagai berkata oleh Reuters.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hampiri RM4.55 berbanding dolar AS, MIDF Research yakin Ringgit terus kukuh kepada RM4.43 akhir 2024

 

Antara faktor yang dikatakan menyumbang kepada pengukuhan mata wang Malaysia ialah aliran masuk asing yang berterusan ke pasaran bon tempatan, penghantaran balik dana dari luar negara oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, serta peningkatan eksport, yang meningkatkan permintaan terhadap ringgit. 

 

Dalam nota penyelidikan semalam, MIDF Research yakin Ringgit akan terus mendapat keuntungan daripada perbezaan faedah yang semakin mengecil kerana Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), seiring dengan kawalan inflasi yang kekal stabil di Malaysia.

 

Justeru, MIDF Research optimis Ringgit akan meningkat ke arah sasaran akhir sebanyak RM4.43 berbanding AS$1.
 

Menurut firma penyelidikan itu, asas pertumbuhan negara juga akan menyokong Ringgit untuk terus meningkat dengan anggaran awal menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku kedua 2024 berkembang pada 5.8%yoy (1QCY24: +4.2%yoy).

 

"Kadar pertumbuhan adalah +1%-mata lebih cepat daripada jangkaan kami dan pasaran. 

 

"Terdapat kemungkinan momentum pertumbuhan akan berterusan ke 2HCY24 seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan berterusan dalam Indeks Pelopor, yang meningkat sebanyak +3.8%yoy pada Mei-24 ​​(Apr-24: +4.5%yoy; 1QCY24: +2.6%yoy ).

 

"Sehubungan itu, kami meramalkan peningkatan berterusan dalam permintaan dalam negeri, di samping pemulihan dalam perdagangan luar, akan menyokong ekonomi Malaysia berkembang lebih kukuh pada 2024," jelasnya. - DagangNews.com