Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Feb. - Ringgit meneruskan momentum kenaikan apabila dibuka tinggi pada RM4.0450/0500 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
HLIB Research berkata, kelemahan dolar AS dan kenaikan harga minyak mentah dijangka terus menyokong pengukuhan ringgit.
Bagaimanapun, katanya, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) esok akan menjadi pemacu utama pergerakan ringgit.
"Kami menjangkakan penguncupan yang lebih besar memandangkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan pada suku terakhir 2020," katanya.
Pada penutupan semalam, mata wang tempatan meningkat kepada RM4.0460/0500 berbanding dolar AS daripada RM4.0630/0680 ketika ditutup pada Isnin.
Sementara itu, AmBank Research menjangkakan ringgit diniagakan hari ini pada paras sokongan antara RM4.0248 dan RM4.0389 manakala paras rintangan ditambat pada RM4.0598 dan RM4.0713.
Dolar AS menyusut untuk hari kedua, jatuh 0.53% kepada 90.449, terendah sejak 28 Januari berikutan kebimbangan rangsangan fiskal AS mungkin ditangguhkan dan jumlahnya adalah kecil berbanding jangkaan sebelum ini.
"Kelemahan dolar ini turut menjadi antara faktor utama menyokong kenaikan harga minyak mentah berlegar pada paras tertingi setahun.
"Selain itu, harga minyak turut meraih manfaat daripada langkah pengurangan bekalan dan keyakinan terhadap permintaan bahan api yang kian pulih," katanya.
Ia menyaksikan Brent naik 1.16% kepada AS$61.26 setong manakala West Texas Intermediate menokok 0.67% kepada AS$58.36 setong. - DagangNews.com