KUALA LUMPUR 28 Sept - Masalah kekurangan pekerja dan operasi kedai CU yang masih belum menguntungkan akan terus memberi risiko kepada prospek Mynews Holdings Bhd.
CGS-CIMB Research dalam nota kajiannya berkata, risiko jangka pendek kekal boleh menghalang
pelan pemulihan pengendali kedai serbaneka itu.
Ia termasuklah operasi CU yang belum membuahkan hasil, kuasa belanja pengguna yang rendah sejak suku keempat dan masalah kekurangan pekerja secara berterusan.
"Faktor-faktor ini boleh menyebabkan kadar penggunaan yang lebih rendah bagi pusat pemprosesan makanannnya (FPC), sekali gus menjejaskan peluangnya untuk kembali mencatat keuntungan pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2024 (FY24)," katanya.
Pada suku ketiga berakhir 31 Julai 2022, Mynews merekodkan kerugian bersih yang lebih kecil sebanyak RM1.45 juta, susut 90% berbanding RM14.92 juta bagi tempoh sama tahun lalu dengan pendapatan meningkat 81% kepada RM170.2 juta.
Ini disebabkan jualan kedai yang meningkat apabila kerajaan menarik semula sekatan terhadap aktiviti sosial dan ekonomi dalam usaha mengekang penularan COVID-19.
Turut menyumbang kepada peningkatan itu ialah penambahan 11% cawangan kepada 573 daripada 515 pada tahun lalu.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Julai 2022, kerugian bersih turut mengecil kepada RM19.54 juta daripada RM34.18 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM450.73 juta daripada RM296.5 juta.
CGS-CIMB menyifatkan kerugian bersih teras bagi tempoh sembilan bulan sebanyak RM16.5 juta adalah lebih baik daripada jangkaannya dan anggaran konsensus Bloomberg bagi FY22.
"Prestasi mengatasi pendapatan terutamanya disebabkan hasil yang lebih tinggi daripada jangkaan dan margin pendapatan kasar yang lebih besar daripada jangkaan bagi campuran produk yang lebih baik," katanya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'kurang' terhadap Mynews dengan harga sasaran tidak berubah pada 33 sen.
Setakat 9.06 pagi ini, harga sahamnya menokok 7 sen atau 17.07% kepada 48 sen dengan 351,500 saham diniagakan. - DagangNews.com