Risiko kerugian rosot nilai, kesan pandemik masih membelenggu Aeon Credit - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Risiko kerugian rosot nilai, kesan pandemik masih membelenggu Aeon Credit - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Aeon Credit Service (M) Berhad (ACSB) masih berdepan risiko peningkatan kerugian rosot nilai dalam tempoh beberapa suku tahun berikutnya, kesan daripada 'sisa' impak ‘lockdown’

 

Penganalisis di Kenanga Research, Adrian Kok Xi Feng bagaimanapun percaya ACSB dalam kedudukan baik untuk kembali pulih. 

 

Walaupun prestasi kewangan ACSB pada suku kedua tahun kewangan 2022 (2QFY22) mencatatkan pertumbuhan, namun Kenanga tidak membuat sebarang perubahan ke atas unjuran perolehan.

 

“Terdapat beberapa petunjuk pertumbuhan dengan jumlah transaksi dan pembiayaan meningkat 22% pada separuh pertama FY22 (1HFY22) berbanding tempoh sebelumnya. 

 

“Memasuki 2022, kami melihat pemangkin jangka pendek adalah rosot nilai yang kembali normal dipacu kutipan akaun, momentum pembiayaan yang belum diterima atau jumlah transaksi dan pembiayaan meningkat selain berpotensi meraih lesen bank digital,” jelas beliau dalam satu nota penyelidikan, hari ini. 

 

Pada 2QFY22, ACSB mencatat keuntungan selepas cukai 45.7% lebih tinggi kepada RM75.48 juta daripada RM51.81 juta pada suku kedua tahun kewangan sebelumnya. 

 

Penyedia perkhidmatan kredit itu meraih pendapatan lebih tinggi iaitu RM374.48 juta pada suku tahun tersebut, berbanding RM363.97 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya, di sebalik persekitaran perniagaan mencabar.

 

Kenanga mengekalkan penarafan ‘outperform’ ke atas ACSB dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada kadar RM14 sesaham.

 

Senada itu, MIDF Research juga percaya impak teruk yang dialami ACSB mungkin telah berakhir. 

 

Bagaimanapun, menurut penganalisisnya, Imran Yassin Yusof, masih terdapat beberapa impak daripada pandemik, tetapi kumpulan diyakini dapat mengekalkan momentum perolehan yang terus meningkat. 

 

“Kami percaya ia akan menjadi salah satu benefisiari pembukaan semula ekonomi,” kata beliau. 

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas kumpulan dengan TP ditingkatkan kepada RM15.20 daripada RM12.90. - DagangNews.com