Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Dis. - MIDF Research menjangkakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan kadar faedah pada 0 hingga 0.25% sekurang-kurangnya sehingga tahun hadapan.
Menurut firma penyelidikan itu, jangkaan itu sejajar dengan unjuran kadar terkini badan antarabangsa tersebut yang menunjukkan ia kekal pada kadar semasa hingga 2023.
"Pada julat kadar faedah ini, ia dilihat akomodatif sejajar dengan pemulihan ekonomi apabila pasaran buruh mencapai pekerjaan yang maksimum dan menunjukkan kestabilan harga," katanya dalam nota kajian hari ini.
Keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS (FOMC) untuk kali terakhir tahun ini sudah dijangka memandangkan pandemik COVID-19 masih memberi risiko kepada prospek makroekonomi.
Rizab Persekutuan AS membuat keputusan teguh mengekalkan kadar faedah pada 0 hingga 0.25% walaupun terdapat perkembangan dalam vaksin COVID-19.
Ini memandangkan pelancaran vaksin itu belum dibuat sepenuhnya dan jumlah jangkitan akibat wabak itu pula semakin meningkat.
Meskipun ekonomi menunjukan tanda-tanda pemulihan tetapi ia masih berada di paras sebelum pandemik tersebut.
Malah, badan itu juga mengunjurkan ekonomi AS akan menguncup pada skala kecil tahun ini pada 2.4% berbanding 3.7% yang dibuat September lalu.
Ekonomi juga dijangka berkembang pesat tahun hadapan dengan diunjur pada 4.2% berbanding 4% dan 2022 pula pada 3.2%.
MIDF Research menjangkakan pertumbuhan ekonomi di peringkat domestik dan luaran diunjur merekodkan prestasi yang lebih baik pada separuh kedua 2020 hinggalah memasuki 2021.
"Namun, kami percaya pemulihan ekonomi mengambil masa yang panjang. Prospek untuk suku keempat 2020 dan 2021 juga masih samar-samar memandangkan pandemik ini belum terkawal dan kesediaan vaksin tidak diperluaskan setakat ini," katanya.
Tambahan pula, katanya, ia mengambil masa untuk melihat sejauh mana keberkesanan vaksin COVID-19.
"Sehubungan itu, melonggarkan dasar fiskal dan monetari adalah diperlukan bagi menampan ekonomi yang rapuh sementara kita menunggu penggunaan vaksin," jelas firma itu. - DagangNews.com