Rizab rasmi Malaysia bernilai AS$104.21b setakat Julai 2020 | DagangNews Skip to main content

Rizab rasmi Malaysia bernilai AS$104.21b setakat Julai 2020

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Rizab antarabangsa Malaysia tetap boleh digunakan setakat penghujung 2020 dengan aset rizab rasmi bernilai AS$104.21bilion (RM435.04 bilion).

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, aset mata wang asing (mata wang asing yang boleh ditukarkan) mencatatkan jumlah AS$911.5 juta bagi tempoh yang sama.

“Bagi 12 bulan seterusnya, aliran keluar jangka masa pendek yang telah dikenal pasti melibatkan hutang mata wang asing, sekuriti dan deposit, termasuk pembayaran balik berjadual pinjaman luar negeri oleh kerajaan dan pembayaran balik mata wang asing setelah matang daripada Bil Antara Bank dalam mata wang asing Bank Negara, bernilai AS$8.83 bilion,” kata BNM dalam kenyataannya hari ini mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Tambah BNM, kedudukan hadapan pendek (kontrak untuk penjualan aset pada tarikh atau harga yang ditetapkan) adalah sebanyak AS$8.65.

Kedudukan hadapan panjang pula (kontrak pembelian aset pada tarikh dan harga ditetapkan) berjumlah AS$880 juta setakat penghujung Julai 2020, menunjukkan pengurusan kecairan ringgit dalam pasaran wang.

Seiring amalan yang dilaksanakan sejak April 2006, data berkenaan tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek.

Jelas bank pusat itu, aliran masuk mata wang asing diunjurkan sebanyak AS$2.31 bilion menjelang 12 bulan akan datang dan satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar adalah jaminan kerajaan bagi hutang dalam mata wang asing yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$277.7 juta.

"Tiada pinjaman dalam mata wang asing yang melibatkan opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, serta bank dan institusi kewangan lain.

“BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit,” jelas BNM. - DagangNews.com