Rizal Rickman dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Property | DagangNews Skip to main content

Rizal Rickman dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Property


KUALA LUMPUR 6 Mei – Sime Darby Property Berhad mengumumkan pelantikan Rizal Rickman Ramli sebagai Pengerusi syarikat menggantikan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz yang bersara pada penutup Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-48 yang diadakan secara maya.

 

Zeti yang merupakan Pengerusi wanita pertama Sime Darby Property telah menyatakan hasrat untuk tidak dilantik semula sebagai Pengerusi, jawatan yang telah dipegang oleh beliau sejak Julai 2018.

 

Pelantikan Rizal Rickman sebagai Pengerusi berkuatkuasa 7 Mei 2021. Beliau dilantik menyertai Lembaga Pengarah Sime Darby Property sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif pada 5 April 2018, dan juga merupakan Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik di PNB.

 

Rizal Rickman menyertai PNB pada Mac 2018 sebagai Naib Presiden Eksekutif Bahagian Hartanah, sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan, Hartanah pada tahun 2020.

 

Di bawah kepimpinan beliau, saiz portfolio hartanah PNB telah meningkat dua kali ganda dengan fokus yang lebih luas meliputi pelaburan baharu seperti logistik, perindustrian dan perumahan. 

 

PNB kini memiliki portfolio hartanah yang pelbagai dan meliputi pelaburan dalam pasaran-pasaran di Amerika Syarikat, Jepun, Australia, Poland, Jerman, Belanda dan United Kingdom.

 

SDP
ZETI Akhtar Aziz (tengah, barisan depan) bersama pengurusan kanan Sime Darby Property pada mesyuarat agung tahunan ke-48 di Kuala Lumpur, hari ini.

 

Rizal Rickman telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Pelaburan, Pelaburan Persendirian dan Strategik di PNB pada April 2021. Berikutan pelantikan ini, beliau kini mengetuai tiga bahagian iaitu Hartanah, Pasaran Persendirian dan Pelaburan Strategik.

 

Sebelum menyertai PNB, Rizal Rickman merupakan Country Managing Partner di The Boston Consulting Group (“BCG”) di Malaysia. Sepanjang di BCG, beliau memainkan peranan sebagai pakar perunding kepada syarikat-syarikat dari lebih 10 negara dan berjaya meletakkan BCG Malaysia sebagai hab serantau bagi perkhidmatan perniagaan.

 

Kepakaran beliau meliputi bidang pembangunan strategi, inovasi dan perkembangan model perniagaan, serta transformasi di peringkat korporat dan industri.

 

Rizal Rickman juga memegang jawatan sebagai Pengarah di Velesto Energy Berhad, syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia sejak Mac 2018. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah di syarikat-syarikat tersenarai lain seperti Pelaburan Hartanah Nasional Berhad, MIDF Property Berhad dan Lanjut Golf Berhad.

 

Beliau memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dengan pengkhususan dalam bidang Kewangan dan Operasi dari Kellogg School of Management, Northwestern University, dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari University of Chicago.

 

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan pelantikan Rizal Rickman sebagai Pengerusi Sime Darby Property. Kami yakin beliau akan memastikan kesinambungan dalam inisiatif-inisiatif untuk mengatasi isu-isu legasi dan memperkukuhkan kedudukan kewangan Syarikat.

 

"Sokongan beliau terhadap inisiatif-inisiatif transformasi yang sedang dijalankan serta pengalaman beliau menerajui inisiatif seperti ini di peringkat antarabangsa akan membantu Sime Darby Property dalam merealisasikan objektif Syarikat”, kata Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Dato’ Azmir Merican. - DagangNews.com