RM10 juta diperuntukkan bangunkan industri buluh | DagangNews Skip to main content

RM10 juta diperuntukkan bangunkan industri buluh

 

 

KUALA LUMPUR 30 Mac - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) memperuntukkan sebanyak RM10 juta untuk pelaksanaan Program Komuniti Agrikomoditi Buluh.

 

Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh 5 tahun bermula pada tahun ini sehingga 2025.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairudin Aman Razali berkata, inisiatif para penyelidik Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC) di bawah Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menghasilkan inovasi baharu produk buluh berasaskan serat. 

 

Katanya, kepelbagaian aplikasi produk daripada serat mampu membuka peluang baharu kepada sumber alternatif komoditi di Malaysia.

 

"Melalui kerjasama UTHM dengan MTIB, sebanyak 13 spesies buluh komersial telah dikaji dalam penentuan kebolehpemprosesan serat daripadanya. 

 

"Dianggarkan kira-kira lima tan serat pelbagai fungsi mampu diekstrak keluar daripada ladang buluh seluas satu hektar," katanya. 

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Industri Buluh Kebangsaan anjuran FTK dan Majlis Pecah Tanah Ladang Buluh. 

 

Memandangkan kepada potensi tanaman komoditi ini yang tinggi, buluh telah diluluskan sebagai salah satu spesies di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi kawasan 4 hektar dan ke atas. 

 

Menurut beliau, penekanan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan produk hiliran serat adalah amat penting bagi menjamin kelestarian keluaran ladang kerana hasil produk akhir ini, mampu memberi pulangan ekonomi yang lebih tinggi berbanding serat mentah. 

 

"Hasil usaha UTHM ini memungkinkan institusi ini mampu menjadi salah satu pusat pemprosesan serat terbaik di negara ini," katanya. 

 

Selain MTIB, sebuah lagi agensi di bawah KPPK iaitu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) turut menawarkan perkongsian pengalaman dan khidmat nasihat bagi merancakkan lagi perkembangan pusat ini selain jaringan kerjasama strategik bersama institusi penyelidikan dan pemain industri buluh tempatan. 

 

Penganjuran Persidangan Industri Buluh Kebangsaan yang bertemakan ‘Memperkasa Teknologi dan Inovasi Buluh Negara’ membuktikan bahawa hubungan kepakaran telah terbentuk antara UTHM dengan pemegang taruh industri
buluh negara khususnya kementerian.

 

Selaras dengan objektif persidangan, rancangan lima tahun pelan strategik pembangunan ekosistem pengeluaran serat buluh bagi universiti berkenaan bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir 1 hektar, sehingga
penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk lanskap, bahan binaan bangunan, geotextile dan produk tekstil.

 

Beliau memberitahu, kementerian bersama agensi-agensi seperti MTIB dan LKTN akan terus memberi galakan dan insentif kepada industri dan universiti terutama UTHM untuk terus maju kehadapan sehingga sasaran menjadikan serat buluh sebagai sumber alternatif komoditi di Malaysia tercapai. - DagangNews.com