RM100 bilion pakej rangsangan lonjak hingga 1.2 mata peratusan KDNK | DagangNews Skip to main content

RM100 bilion pakej rangsangan lonjak hingga 1.2 mata peratusan KDNK

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Julai - Setiap RM100 bilion nilai pakej rangsangan yang telah diumumkan menerusi lapan ‘siri’ sebelum ini dijangka memberi lonjakan, antara 1.1 hingga 1.2 mata peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Malah, daripada RM530 bilion jumlah keseluruhan lapan pakej rangsangan setakat ini, Ketua Ahli Ekonomi Maybank Kim Eng, Suhaimi Ilias menjangkakan hanya sekitar RM200 bilion telah dibelanjakan atau digunakan. 

 

Ini seterusnya memberi ruang kepada kerajaan untuk mengembangkan lagi bantuan pakej rangsangan tersebut. 

 

“Bagi perbelanjaan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion, lima bulan pertama tahun ini menyaksikan peruntukan kira-kira RM137 bilion dan dana COVID-19 yang telah diluluskan oleh Parlimen bagi kegunaan pada tahun 2020 hingga 2022 berjumlah RM65 bilion, sebanyak RM48 bilion telah digunakan pada empat bulan pertama tahun 2021,” katanya dalam taklimat media berhubung prospek separuh kedua 2021 (2H21) Malaysia. 

 

Turut hadir dalam majlis yang dianjurkan secara maya itu, Ketua Penyelidikan Ekuiti Maybank Kim Eng, Anand Pathmakanthan.

 

Maybank Kim Eng
ANAND PATHMAKANTHAN (kiri) dan Suhaimi Ilias (kanan) pada taklimat secara maya berhubung prospek ekonomi 2H21, hari ini.

 

Ketika ditanya mengenai Belanjawan 2022, beliau percaya peruntukan itu akan terus berkembang, walaupun Maybank Kim Eng sebelum ini telah membuat unjuran defisit bajet daripada 6.8% (pada 2021) kepada 6% pada tahun 2022. 

 

Suhaimi mengunjurkan nilai defisit akan kekal hampir RM100 bilion, tidak jauh perubahannya daripada tahun ini yang mencatatkan nilai defisit lebih tinggi sedikit daripada RM100 bilion.

 

“(Bagi Belanjawan 2022), ia akan lebih menggariskan usaha menangani impak semasa, terutamanya rakyat akibat pandemik. Sudah tentu kita tidak boleh terus menjangkakan pemberian moratorium pinjaman atau pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ini bukannya langkah yang berulang-ulang. 

 

“Ada had kepada langkah ini. Saya fikir intipatinya mungkin menumpukan kepada rakyat, seperti penambahbaikan dasar-dasar untuk meningkatkan keselamatan dan perlindungan sosial setelah ekonomi strata telah merosot akibat pandemik COVID-19,” ujar Suhaimi lanjut. 

 

Sebagai rekod, menerusi lapan pakej rangsangan sejak Mac tahun lalu, kerajaan telah menyalurkan RM530 bilion bantuan yang merangkumi RM83 bilion suntikan fiskal langsung. - DagangNews.com